
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Kerajaan Persekutuan untuk menangguhkan perintah Mahkamah Tinggi berhubung semakan taksiran dan pembayaran Pemberian Khas Sabah.
Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan, bersama-sama Datuk Ismail Brahim dan K. Muniandy, membenarkan penangguhan sementara menunggu penyelesaian rayuan.
“Kami berpuas hati bahawa keadaan khas telah diwujudkan. Pemohon (Kerajaan Persekutuan) akan mengalami prejudis sekiranya penangguhan ditolak, dan rayuan itu boleh dianggap tidak berguna.
“Sehubungan dengan itu, kami membenarkan permohonan berkenaan dan memberikan penangguhan pelaksanaan mengikut usul pemohon. Kami tidak membuat sebarang perintah mengenai kos kerana pemohon tidak memohon sebarang perintah mengenai kos dalam permohonannya,” kata Hakim Mohamed Zaini.
Pada 17 Oktober tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa Kerajaan Persekutuan telah bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan dari 1974 hingga 2021.
Dalam membenarkan permohonan Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) untuk semakan kehakiman, Mahkamah Tinggi juga mengarahkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah untuk menyemak semula hak 40 peratus hasil negeri itu bagi 1974 hingga 2021, dan melengkapkan semakan dalam tempoh 90 hari serta 180 hari diberikan untuk mencapai persetujuan muktamad.
Ketika menyampaikan keputusan melalui Zoom hari ini, Hakim Mohamed Zaini berkata pemohon tidak mempunyai isu berhubung kelayakan 40 peratus itu.
Beliau berkata kebimbangan utama pemohon adalah pada perintah Mahkamah Tinggi supaya semakan itu dilakukan dalam tempoh 90 hari dan pihak-pihak mencapai persetujuan dalam tempoh 180 hari dari tarikh perintah.
“Tempoh 90 hari telah tamat pada 14 Januari 2026. Kami mendapati bahawa pemohon telah memulakan semakan itu dan mengadakan empat pertemuan dengan responden kedua (kerajaan Sabah).
“Tempoh 180 hari pula akan berakhir tidak lama lagi, iaitu pada 15 April 2026. Jelas bahawa pemohon berdepan dengan kekangan masa. Pemohon berhujah bahawa semakan tersebut akan melibatkan penilaian menyeluruh terhadap kedudukan kewangan mereka dan hasil bersih responden kedua dari 1974 hingga 2021.
“Hal ini memerlukan proses mengenal pasti, mengesahkan dan menyelaraskan data kewangan, dokumen yang banyak serta rekod sejarah yang merangkumi tempoh 47 tahun, dari 1974 hingga 2021,” katanya.
-Bernama