KUCHING: Kerajaan perlu mencari pendekatan bagi menggalakkan golongan muda berkahwin dan mempunyai anak susulan penurunan kadar kesuburan negara yang memberi kesan kepada struktur keluarga serta keperluan penjagaan jangka panjang.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, perkara itu penting berikutan Malaysia dijangka memasuki fasa negara tua atau aged nation menjelang 2036 apabila penduduk berusia 60 tahun dan ke atas dijangka melebihi 15 peratus daripada keseluruhan penduduk.
“Pada masa sama kadar kesuburan negara menunjukkan penurunan ketara daripada 2.93 anak bagi setiap wanita pada 2000 kepada purata 1.6 anak pada 2024.

“Bila terlalu ramai orang yang lebih tua, maka kita perlu orang yang akan menjaganya dan anak yang lahir ini semakin hari semakin menurun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Inisiatif Sektor Penjagaan di bawah Belanjawan MADANI 2026 dan Kempen Penjagaan 2026, di sini, hari ini.
Tambah beliau, keadaan itu memerlukan kerajaan melihat pelbagai pendekatan bagi meningkatkan bilangan generasi muda pada masa hadapan.
“Terpaksa cari jalan macam mana nak tambah anak-anak orang di Malaysia ini. Supaya orang ramai atau budak-budak sekarang kahwin cepat.
“Kahwin tapi mesti dapat anak. Bukan main-main sahaja kahwin, mesti dapat anak jugak,” tegasnya.

Mengulas lanjut, perubahan demografi yang berlaku ketika ini menunjukkan bilangan penduduk berusia semakin meningkat, manakala bilangan anak yang dilahirkan pula semakin berkurangan.
“Keadaan itu perlu diberi perhatian bagi memastikan negara mempunyai keseimbangan antara golongan muda dan warga emas pada masa hadapan.
“Generasi muda memainkan peranan penting dalam memastikan kesinambungan penduduk serta pembangunan negara untuk tempoh jangka panjang.
Jelasnya, sekiranya trend penurunan kadar kesuburan berkenaan berterusan, Malaysia perlu bersedia menghadapi perubahan struktur penduduk yang lebih ketara apabila semakin ramai penduduk memasuki usia tua.
“Isu kadar kelahiran perlu dilihat sebagai perkara penting dalam perancangan pembangunan negara dan tidak hanya menjadi tanggungjawab sesebuah kementerian.
“Usaha memastikan lebih ramai generasi muda membina keluarga dan mempunyai anak perlu dilihat sebagai sebahagian daripada persediaan negara menghadapi perubahan demografi pada masa hadapan,” ujarnya.
Oleh Masrin Affirah




