
SIBU: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing, menegaskan bahawa isu bekalan air yang tidak menentu dan masalah banjir berulang di Sibu perlu penyelesaian tuntas bagi mengurangkan beban rakyat.
Tiong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebooknya berkata, kedua-dua isu itu terus membelenggui penduduk di kawasan tersebut tanpa langkah penyelesaian konkrit.
“Banjir ini sudah berpuluh-puluh tahun berlaku, menyebabkan rakyat menanggung kerugian. Sampai bila kita mahu biarkan keadaan ini berterusan? Sibu bukan kawasan paya, tetapi menjadi seolah-olah paya kerana sistem saliran yang tidak sempurna,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan keberkesanan peruntukan sebanyak RM15 juta untuk kerja-kerja pendalaman muara Sungai Seduan, memandangkan sebahagian sungai tersebut sudah tertimbus akibat mendapan dan tumbuhan liar.
“Adakah RM15 juta mencukupi untuk menyelesaikan semua masalah ini? Jika hanya muara sungai yang didalamkan, bagaimana dengan bahagian lain Sungai Seduan? Jika keadaan masih sama, banjir akan terus berlaku,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau juga menekankan keperluan perancangan menyeluruh dalam menangani isu banjir di kawasan berkenaan.
“Setiap kali hujan sedikit pun, banjir melanda. Penduduk di Sentosa terpaksa tidur dalam air, rumah mereka tenggelam. Masalah ini perlu diselesaikan segera, bukan sekadar pengumuman tanpa hala tuju,” tambahnya.
Sementara itu, mengenai isu bekalan air, Tiong berkata rakyat telah berdepan dengan gangguan bekalan air sejak 2022, namun tiada penyelesaian konkrit setakat ini.
“Bekalan air kejap ada, kejap tiada. Pegawai hanya memberi jawapan bahawa pemeriksaan akan dilakukan dan projek perlu dimulakan terlebih dahulu. Tetapi, paip sudah dipasang, kenapa masih tiada air mengalir?” soalnya.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan mengenai tekanan air yang tidak mencukupi di beberapa kawasan termasuk Ulu Durin, Jalan KJD, Batu Wong, Sungai Pak dan Sungai Rongan, menyebabkan penduduk terpaksa bergantung kepada penghantaran air yang tidak mencukupi.
“Saya ingin bertanya kepada Lembaga Air Sibu (LAS) dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB), apakah pelan konkrit untuk menyelesaikan masalah ini? Rakyat tidak boleh bergantung kepada penghantaran air sementara sedangkan paip telah tersedia,” katanya.
Justeru, Tiong menegaskan bahawa pihak berwajib perlu segera mengemukakan pelan tindakan lengkap bagi memastikan bekalan air stabil dan masalah banjir diatasi dengan menyeluruh.
“Kita memerlukan penyelesaian menyeluruh, bukan langkah sementara yang hanya menyelesaikan sebahagian daripada masalah yang dihadapi rakyat,” katanya.
Oleh Tarani Lanting