
KUCHING: Kerajaan perlu segera memperkukuh kawalan terhadap penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat, khususnya kanak-kanak, terus terpelihara, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri.
Beliau menegaskan bahawa risiko penyalahgunaan AI semakin ketara dan tidak boleh ditangani oleh satu pihak sahaja, sebaliknya memerlukan kerjasama menyeluruh antara kementerian, agensi penguat kuasa, institusi pendidikan dan komuniti setempat.
“AI memberi banyak manfaat, tetapi ia juga boleh disalahgunakan sehingga mempengaruhi pemikiran rakyat, terutama golongan muda. Kita perlu bertindak segera sebelum teknologi ini mengatasi kawalan kita,” katanya.
Menurut Nancy, kementeriannya telah mengemukakan perkara itu di peringkat Kabinet, dan sebagai langkah awal, satu kumpulan khas berkaitan AI akan diwujudkan bersama Kementerian Digital untuk menyelaras pendidikan dan kesedaran mengenai penggunaan teknologi tersebut dengan selamat.
Beliau berkata program advokasi khusus akan diperkenalkan bermula tahun hadapan bagi membimbing wanita, kanak-kanak serta pelajar di sekolah tentang isu keselamatan digital, penyamaran melalui AI, serta perlindungan diri dalam ruang siber.
Program itu melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Kementerian Pendidikan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta rangkaian komuniti di peringkat akar umbi.
“Kita tidak mahu masyarakat menjadi mangsa akibat penyalahgunaan AI. Pendidikan dan kesedaran adalah benteng utama. Semua pihak perlu memainkan peranan,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Program Asas Kepimpinan Lestari (ESG) Usahawati Sarawak di MBKS, hari ini.
Oleh Shikin Mahmud