
SONG: Kerajaan MADANI terus memperkukuhkan agenda peralihan tenaga negara menerusi pelaksanaan projek Sistem Solar Hibrid di sekolah-sekolah luar bandar dan pedalaman, sekali gus memastikan pengurusan aset awam yang lebih mampan, kos efektif dan berdaya maju.
Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, perkembangan teknologi masa kini telah menyediakan alternatif sumber tenaga yang lebih menjimatkan dari segi pelaksanaan dan penyelenggaraan, selari dengan komitmen Malaysia terhadap sasaran pelepasan karbon sifar bersih.
Menurutnya, projek Sistem Solar Hibrid itu merupakan inisiatif strategik berimpak tinggi yang menyokong agenda perubahan iklim serta kecekapan penggunaan sumber tenaga, khususnya bagi kemudahan pendidikan di kawasan pedalaman.

“Syabas kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia melalui Cawangan Kejuruteraan Elektrik yang telah menggalas amanah melaksanakan transformasi bekalan elektrik di sekolah-sekolah luar bandar daripada penggunaan jana kuasa diesel kepada sistem solar hibrid yang lebih lestari,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Projek Penyelenggaraan Sistem Solar Hibrid dan Naik Taraf Sistem Bekalan Elektrik (2025–2027), serta menyerahkan Projek Siap Sistem Solar Hibrid bagi sekolah-sekolah luar bandar di Sarawak di Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Bangkit, Katibas, hari ini.
Menurutnya, penggunaan jana kuasa diesel di sekolah-sekolah berkenaan telah bermula sejak 2010, sebelum pelaksanaan program bekalan elektrik Sistem Solar Hibrid diperkenalkan secara berperingkat bermula 2020.

Katanya, program tersebut melibatkan sebanyak 121 sekolah dan dilaksanakan menerusi sembilan pakej berdasarkan lokaliti serta kedudukan sekolah mengikut daerah.
“Inisiatif ini secara langsung menyokong aspirasi Kementerian Pendidikan (KPM) dalam merapatkan jurang pendidikan dari segi geografi dan sosioekonomi antara bandar, luar bandar dan pedalaman,” ujatnya.
Untuk rekod, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM274.5 juta di bawah Rolling Plan Keempat, Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11), bagi pelaksanaan projek pemasangan Sistem Solar Hibrid itu.
Sehingga 2023, sebanyak 97 sekolah telah berjaya dilengkapi dengan sistem berkenaan, manakala 15 sekolah tambahan siap dan mula beroperasi pada 21 November 2025.
“Baki tujuh sekolah lagi dijadualkan untuk dilaksanakan pada 2026 dan dijangka siap sepenuhnya serta beroperasi pada 2027,” jelasnya.

Ahli Parlimen Kapit itu berkata, penyerahan Perakuan Siap Kerja (CPC) kepada kontraktor projek yang telah disiapkan serta Surat Setuju Terima (SST) bagi tiga pakej kontrak penyelenggaraan Sistem Solar Hibrid bagi tempoh 2025 hingga 2027 akan dilaksanakan.
Beliau menegaskan, pencapaian itu membuktikan komitmen Kerajaan MADANI melalui Kementerian Kerja Raya (KKR) dan JKR yang bukan sahaja menumpukan aspek pembinaan, malah memastikan sistem bekalan elektrik diselenggara dan dipantau secara berterusan.
Nanta yakin, pembangunan fasiliti teknologi hijau itu akan memberi manfaat besar kepada lebih 3,000 murid dan 2,000 guru di sekolah-sekolah pedalaman Sarawak, selain mewujudkan ekosistem pengajaran dan pembelajaran yang lebih kondusif serta berdaya saing.
Menurutnya lagi, berdasarkan data keberhasilan projek, Sistem Solar Hibrid berjaya menjana penjimatan kos operasi dan penyelenggaraan sehingga 80 peratus, bersamaan kira-kira RM90 juta setahun berbanding kos penggunaan janakuasa diesel yang mencecah RM115 juta setahun.
“Ini membuktikan perbelanjaan Kerajaan dilaksanakan berdasarkan prinsip nilai untuk wang, berhemah dan diurus secara optimum,” katanya lagi.
Beliau turut menekankan bahawa pelaksanaan projek berkenaan berperanan sebagai platform pemindahan teknologi serta pembangunan kepakaran tempatan, khususnya di Sarawak, termasuk penggunaan teknologi bateri Lithium dan Sodium, sistem pemantauan digital serta penerapan elemen Kecerdasan Buatan (AI) bagi pemantauan jarak jauh yang lebih cekap dan pantas.
Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas, Lidam Assan, Setiausaha Bahagian Pembangunan Sarawak KPM, Mohd Radzuan Abdul Manaf serta yang lain.
Oleh Akun Giman