Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Kerajaan perkasa pembelian barangan buatan Malaysia, dorong pengkomersialan inovasi tempatan – PM Anwar
  • NASIONAL

Kerajaan perkasa pembelian barangan buatan Malaysia, dorong pengkomersialan inovasi tempatan – PM Anwar

Utusan Sarawak 13 hours ago
PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, hari ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memperkasakan inisiatif pembelian barangan buatan Malaysia bagi memastikan hasil penyelidikan dan inovasi anak tempatan, dapat dikomersialkan secara meluas serta dimanfaatkan masyarakat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata langkah itu antara usaha penting dalam memastikan produk ciptaan tempatan tidak terhenti di makmal, sebaliknya berjaya menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Inilah langkah bagi memastikan hasil penyelidikan dan inovasi anak tempatan tidak terhenti di makmal, tetapi benar-benar dipasarkan,” kata beliau ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.

Perdana Menteri berkata berdasarkan data semasa, universiti awam di negara ini telah menubuhkan hampir 450 syarikat terbitan, namun kadar pengkomersialan masih rendah pada sekitar lima peratus.

Justeru, beliau berkata bagi menggalakkan pengkomersialan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D), kerajaan akan melaksanakan beberapa langkah seperti membenarkan pensyarah universiti awam yang menjadi pengasas syarikat terbitan, mengambil cuti penyelidikan atau sabatikal setahun bagi tujuan pengkomersialan dan menyalurkan dana permulaan RM10 juta melalui penubuhan Dana Nasional Syarikat Terbitan. 

“Ini memberi peluang kepada 50 pensyarah menumpukan sepenuhnya kepada pembangunan syarikat terbitan yang dijangka menarik pelaburan swasta sekurang-kurangnya RM30 juta dengan kesan pengganda tiga kali ganda,” kata Perdana Menteri.

Anwar berkata antara inovasi tempatan yang berpotensi dikomersialkan termasuk mesin dialisis buah pinggang mudah alih dan rawatan kanser lidah oleh Universiti Sains Malaysia (USM), serta rawatan kesuburan dan terapi biologi osteoartritis lutut oleh Universiti Malaya (UM).

Beliau berkata bagi menyokong inisiatif itu, RM12 juta turut disediakan kepada Hospital Pengajar Universiti (HPU) terpilih untuk mengaplikasikan hasil ciptaan dalam urusan pemulihan pesakit secara bersasar.

Dalam pada itu Perdana Menteri berkata setakat ini, lebih 550 produk dan perkhidmatan telah diluluskan di bawah logo Malaysian Science, Technology and Innovation (MySTI), dan kerajaan akan memberi keutamaan kepada produk MySTI dalam perolehan kerajaan termasuk peluang pengujian komersial.

Selain itu, beliau berkata Elaun Cukai Pelaburan Aset Hijau untuk Kegunaan Sendiri sebanyak 100 peratus, akan diberikan kepada syarikat yang menggunakan produk teknologi hijau dalam rangkaian buatan tempatan yang diiktiraf oleh MyHIJAU Mark.

“Penandaan logo Buatan Malaysia dan Kempen Beli Barangan Malaysia terus diperkasakan dengan peruntukan RM20 juta untuk meningkatkan pendedahan produk tempatan di pasaran tempatan dan antarabangsa,” kata beliau.

Dalam usaha merakyatkan hasil penyelidikan dan inovasi institusi pengajian tinggi (IPT), Anwar berkata kerajaan akan menganjurkan Putrajaya Festival of Ideas sebagai platform bagi menghubungkan inovasi tempatan dengan komuniti dan pasaran.

-Bernama

Tags: Nasional

Continue Reading

Previous: Penyasaran subsidi jimat dana negara sekitar RM15.5 bilion setahun – PM Anwar
Next: Belanjawan 2026: Sabah dan Sarawak terima peruntukan tertinggi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.