
KUALA LUMPUR: Kerajaan telah memperakukan 1,050 pruf akhir teks dan bahan al-Quran untuk tujuan pencetakan dan edaran kepada masyarakat menerusi penguatkuasaan Akta Pencetakan Teks Al-Qur’an 1986 (APTQ 1986).
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pada tahun lepas, sebanyak 12,048 premis diperiksa di bawah akta berkenaan, dengan 56,946 unit teks dan bahan al-Quran disita.
Beliau berkata tindakan penguatkuasaan itu turut menyaksikan sebanyak 302 kertas siasatan dibuka dengan hasil penguatkuasaan berjumlah RM1,983,151.
“Dalam memastikan kemuliaan dan kesucian al-Quran terus terpelihara di negara ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memikul amanah penting penguatkuasaan APTQ 1986.
“Akta ini berperanan mengawal pencetakan, pengimportan, penjualan, penerbitan dan pengedaran teks serta bahan berkaitan al-Quran,” katanya menerusi hantaran di Facebook sempena Nuzul al-Quran hari ini.
Selain itu, beliau berkata program Jom Exchange al-Quran (JEQ) turut diperkenalkan bagi menggalakkan orang ramai menukar al-Quran lama, rosak atau tidak mempunyai perakuan KDN kepada naskhah yang sah diperakui.
Sejak dilancarkan pada 2023, sebanyak 723 program JEQ telah dilaksanakan dengan 75,614 naskhah al-Quran berjaya ditukar ganti, selaras dengan aspirasi “Ke Arah Sifar al-Quran Tiada Perakuan KDN”.
“Usaha ini selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai ilmu, integriti dan ihsan dalam pentadbiran negara, agar setiap dasar dan tindakan sentiasa berpaksikan nilai yang membawa kebaikan kepada rakyat dan negara,” katanya.
Dalam hantaran yang sama, beliau berkata peristiwa Nuzul al-Quran yang bermula di Gua Hira melalui wahyu pertama kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW bukan sekadar catatan sejarah, tetapi titik tolak kebangkitan tamadun insan berasaskan ilmu, akhlak dan keadilan.
“Firman Allah SWT yang pertama, ‘Iqra’, menegaskan bahawa asas pembinaan ummah dan negara adalah ilmu pengetahuan yang dipandu wahyu.
“Semoga peringatan Nuzul al-Quran ini menguatkan iltizam kita semua untuk terus menjadikan al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan serta dalam melaksanakan amanah kepada agama, bangsa dan negara,” katanya. – Bernama