
SIBU: Kerajaan Sarawak mempergiat usaha menyelesaikan projek perumahan Taman Muhibbah, Maradong yang terbengkalai sejak sekian lama, dengan langkah proaktif termasuk membuka laluan kepada pelantikan pemaju baharu.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, satu pertemuan penting melibatkan semua pihak berkaitan bersama wakil peguam masing-masing akan diadakan di Pusat Khidmat Pelawan pada Selasa ini (24 Mac) bagi memulakan proses perundangan secara rasmi.
Menurutnya, tindakan itu bertujuan menamatkan perkhidmatan pemaju sedia ada yang gagal melaksanakan tanggungjawab, sekali gus membolehkan projek tersebut diambil alih oleh pemaju baharu demi menjaga kepentingan pembeli
“Projek ini telah tertangguh lebih tujuh tahun dan menjejaskan lebih 20 pembeli rumah, malah kini hampir terbengkalai.
“Para pembeli telah menggunakan simpanan seumur hidup mereka, namun terpaksa berdepan ketidakpastian berpanjangan,” katanya menerusi hantaran di Facebook semalam.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan menegaskan keadaan itu tidak boleh dibiarkan berlarutan dan semua pihak terlibat perlu bertanggungjawab serta bertindak segera untuk memulihkan projek berkenaan.
Tambahnya, beliau telah memantau perkembangan projek tersebut secara dekat dan giat menyelaras dengan semua pihak berkepentingan bagi mencari penyelesaian menyeluruh.
Pada masa sama, katanya, kementerian turut memainkan peranan sebagai pemudah cara dalam usaha menyelesaikan kemelut berkenaan, termasuk melaksanakan proses pembatalan pelantikan pemaju sedia ada.
“Langkah seterusnya ialah melantik pemaju baharu sebagai ‘white knight’ untuk mengambil alih projek ini.
“Selain itu, penyelarasan sumber kewangan seperti jaminan bank dan kemudahan pinjaman juga sedang diusahakan bagi memastikan pemulihan projek dapat dilaksanakan dengan lancar,” jelasnya.
Tegas beliau, kegagalan pemaju sedia ada memenuhi tanggungjawab sehingga menyebabkan projek terbantut begitu lama adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.
Oleh Tarani Lanting