
KUCHING: Kerajaan negeri mempertimbang cadangan menaik taraf Jalan Ong Tiang Swee termasuk pelebaran jalan serta pembinaan kemudahan parkir bertingkat bagi menambah baik kemudahan infrastruktur dan pengurusan trafik di kawasan bandar raya Kuching.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, cadangan tersebut termasuk kerja-kerja pelebaran jalan serta penyediaan kemudahan parkir moden akan diteliti oleh kerajaan negeri.
“Kita akan mencari peruntukan untuk menaik taraf jalan ini termasuk membina parkir bertingkat.
“Pembinaan parkir bertingkat merupakan antara pendekatan moden yang semakin digunakan di kawasan bandar bagi mengatasi masalah kekurangan ruang letak kenderaan.
“Sekarang terdapat trend untuk membina parkir bertingkat. Lebih banyak ruang ke atas, lebih banyak lif. Ini memudahkan orang mencari tempat letak kenderaan. Ia juga lebih moden, luas dan mudah digunakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Kompleks UNIFOR di Kuching.
Jelas beliau, cadangan menaik taraf Jalan Ong Tiang Swee dilihat sebagai keperluan semasa bagi meningkatkan keselesaan pengguna serta melancarkan aliran trafik di kawasan berkenaan.
Untuk rekod, Jalan Ong Tiang Swee di Kuching dinamakan sempena Kapitan Cina, Ong Tiang Swee (1864–1950), seorang tokoh perniagaan dan pemimpin masyarakat Cina yang berpengaruh di Sarawak pada era pemerintahan Brooke.
Beliau pernah berkhidmat sebagai penasihat kepada kerajaan Rajah Charles Brooke dalam hal ehwal masyarakat Cina serta merupakan Presiden Dewan Perniagaan Cina pada ketika itu.
Ong Tiang Swee juga antara tokoh masyarakat Cina pertama yang dilantik ke Majlis Negeri Sarawak pada tahun 1937.
Jalan tersebut dinamakan sebagai penghargaan terhadap sumbangan beliau dalam pembangunan awal Sarawak serta peranannya dalam mengukuhkan hubungan antara masyarakat dan pentadbiran negeri pada waktu itu.
Oleh Masrin Affirah