
SEOUL: Kerajaan Metropolitan Seoul hari ini memaklumkan akan menjadi penaja rasmi konsert kemunculan semula kumpulan K-pop BTS yang dijadualkan berlangsung di Dataran Gwanghwamun pada 21 Mac ini, lapor Agensi Berita Yonhap.
Hybe, syarikat yang menguruskan BTS yang juga penganjur konsert itu, telah memohon tajaan rasmi daripada kerajaan bandar raya itu bagi acara berkenaan dan kelulusan terhadap permohonan itu telah disampaikan kepada syarikat tersebut pada 29 Januari lepas, menurut seorang pegawai perbandaran kepada Yonhap menerusi telefon.
Pegawai itu berkata kerajaan bandar raya berpendapat tiada masalah konsert berkenaan menerima tajaan rasmi kerajaan Metropolitan Seoul kerana ia berkepentingan awam dan akan menyumbang kepada pentadbiran bandar, sektor pelancongan serta ekonomi.
Menjangkakan sambutan luar biasa peminat bagi konsert itu, kerajaan bandar raya sedang giat mengambil langkah bagi memastikan keselamatan awam serta menyambut peminat dari seluruh dunia. Pihak berkuasa juga akan menjalankan pemeriksaan khas terhadap lif di kemudahan awam sekitar Dataran Gwanghwamun. Datuk Bandar Seoul Oh Se-hoon minggu lalu mempengerusikan mesyuarat bagi membincangkan langkah keselamatan orang ramai. – Bernama