LAWAS: Kerajaan mahu melindungi rakyat daripada pandemik Covid-19 yang kini telah meragut lebih dua juta nyawa di seluruh dunia.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan
menyaran penduduk Sarawak khususnya di Daerah Limbang dan Lawas segera mendaftar sebagai penerima suntikan vaksin secara dalam talian di aplikasi mysejahtera atau secara manual.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak memaklumkan program vaksinasi bagi Daerah Limbang dan Lawas akan bermula pada 6 dan 7 Mac ini.
Bagi Daerah Lawas, Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Malaysia yang juga Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong akan mendahului senarai penerima suntikan vaksin di Lawas pada 7 Mac ini.
Manakala 6 Mac pula ialah vaksinasi bagi Daerah Limbang yang akan diketuai Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota dan Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Haji Hasbi Habibollah selaku Ahli Parlimen Limbang.
Ini melibatkan semua petugas barisan hadapan bagi Daerah Limbang dan Lawas.
Awang Tengah turut berkongsi pengalaman selaku rakyat Sarawak terawal menerima suntikan vaksin Covid-19 bersama Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Haji Openg baru-baru ini.
“Mula-mula memang rasa gementar juga, tetapi selepas menerima suntikan, alhamdulillah semuanya baik dan tidak menyakitkan.
Saya ini sering menerima suntikan gout yang mana jauh lebih sakit daripada suntikan vaksin Covid-19. Apapun tidak ada kesan sampingan yang serius cuma pada hari kedua terasa letih dan mengantuk,” tambahnya.
ADUN Bukit Sari itu melakukan lawatan kerja singkat ke beberapa kawasan di Lawas yang melibatkan kawasan Merapok, Trusn dan Ulu Batang Trusan.
Turut sama mengiringi beliau ialah Timbalan Menteri KPLB Dato Henry Sum Agong, Timbalan Residen Bahagian Limbang Haji Sebi Haji Abang, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok dan ketua jabatan kerajaan Bahagian Limbang.
Oleh ADENG EDRUS