PETRA JAYA: Kerajaan Persekutuan menyasar untuk meningkatkan campuran kapasiti tenaga boleh diperbaharui daripada 40 peratus pada 2035 kepada 70 peratus menjelang 2050.
Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusuf berkata, ini memerlukan peningkatan penggunaan solar, hidro dan program boleh diperbaharu lain sambil menghapuskan kuasa yang dijana arang batu secara berperingkat.
“Teras usaha kami terletak pada Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) yang dilancarkan pada 2023, dengan menggariskan strategi untuk beralih daripada bahan api fosil bagi membersihkan sumber tenaga.
“NETR mengenal pasti enam tenaga utama peralihan iaitu kecekapan tenaga, tenaga boleh diperbaharui, hidrogen, biotenaga, mobiliti hijau, penyerapan, penggunaan dan penyimpanan karbon.
“Di bawah NETR, kami menyasarkan untuk meningkatkan campuran kapasiti tenaga boleh diperbaharui daripada 40 peratus pada 2035 kepada 70 peratus menjelang 2050,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup Persidangan dan Pameran Hidrogen Hijau Asia Pasifik 2024 (APGH 2024) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Fadillah berkata, salah satu sumber bahan api terbersih untuk penghasilan tenaga ialah hidrogen yang diiktiraf sebagai salah satu perkara utama dalam NETR dan memainkan peranan penting dalam strategi peralihan tenaga.
“Aktiviti yang dipetakan dalam hal ini ialah projek hidrogen seperti kemudahan pengeluaran hidrogen hijau bersepadu di Sarawak dan pembakaran bersama hidrogen di loji janakuasa Semenanjung Malaysia.
“Oleh itu, sokongan kerajaan yang kukuh terhadap ekonomi hidrogen adalah penting dan terbukti dalam Pelan Hala Tuju Ekonomi dan Teknologi Hidrogen yang dilancarkan baru-baru ini, bertujuan meletakkan Malaysia sebagai peneraju ekonomk hidrogen menjelang 2050.
“Pelan hala tuju itu menangani cabaran utama merentasi rantaian nilai hidrogen, menekankan tadbir urus, pengkomersialan teknologi, dan pembangunan modal insan dalam memacu agenda ini,” katanya.
Dalam hal ini, kerajaan mengesahkan komitmen yang tidak berbelah bahagi untuk memanfaatkan kuasa hidrogen untuk masa depan yang mampan, melalui pelaburan, insentif, pembangunan infrastruktur, inovasi dan kerjasama dalam membuka jalan bagi ekonomi hidrogen yang bermanfaat untuk semua dalam mengurangkan perubahan iklim.
Fadillah berkata, wilayah Sarawak telah meletakkan dirinya sebagai pelopor dalam ekonomi hidrogen seperti yang terbukti dalam pelancaran Sarawak Energy Berhad bagi kilang pengeluaran hidrogen bersepadu sulung dan stesen mengisi bahan bakar di Asia Tenggara yang menjadi bukti komitmennya.
“Dikuasakan oleh kuasa hidro yang boleh diperbaharui, kemudahan ini bukan sahaja menghasilkan hidrogen melalui elektrolisis, malah juga memudahkan kenderaan berkuasa hidrogen memupuk pengurangan pelepasan dan mobiliti bandar yang mampan.
“Tambahan pula, pendirian proaktif Sarawak dalam meneroka hidrogen sebagai komoditi eksport yang berpotensi menggariskan keunggulannya dalam landskap tenaga bersih serantau,” katanya.
Oleh Nur Ain Otsman