Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Kerajaan MADANI perkukuh dasar negara menerusi kerangka ekonomi MADANI – PM Anwar
  • NASIONAL

Kerajaan MADANI perkukuh dasar negara menerusi kerangka ekonomi MADANI – PM Anwar

Utusan Sarawak 1 day ago

KUALA LUMPUR:  Kerajaan MADANI mengorak hala tuju dasar negara dengan berani dan  tuntas menerusi penggubalan kerangka Ekonomi MADANI yang berpaksikan kepada kemampanan, kesejahteraan rakyat serta tatakelola berintegriti.  

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata di bawah kerangka itu, kerajaan memulakan reformasi struktur ekonomi, termasuk melalui Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dan Dasar TVET Negara 2030. 

Selain itu sektor swasta turut bergerak ke hadapan bersama-sama kerajaan contohnya, program GEARuP yang diterajui syarikat pelaburan berkaitan kerajaan dan pelaburan langsung domestik (DDI) telah memperkukuh pelaburan.  

“Pelan KL20 juga diperkenalkan dengan aspirasi menjadikan Kuala Lumpur sebagai antara 20 ekosistem terbaik untuk syarikat pemula. Sejak dilancarkan pada April 2024, kedudukan Kuala Lumpur dalam Global Startup Ecosystem Report 2025 meningkat ke tangga ke-68, dengan 4,464 syarikat pemula berdaftar. 

“Kita kini berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran 5,000 syarikat pemula menjelang akhir tahun ini, dalam masa sama, syarikat modal teroka yang memiliki purata Aset di Bawah Pengurusan (AUM) mencecah AS$400 juta turut menunjukkan minat untuk beroperasi di Malaysia,” kata beliau semasa membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Parlimen, hari ini.

Anwar berkata bagi merancakkan lagi aktiviti ekonomi domestik, pelaburan melalui kerjasama strategik dengan pihak industri terus diperkukuh, contohnya inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) dan Kulim Hi-Tech Park (KHTP) yang berjaya menarik pelaburan asing dan domestik dalam sektor berteknologi tinggi.  

Beliau berkata tumpuan pembangunan turut diperluas di Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP) dan Lembah Teknologi Tinggi Automotif Tanjung Malim (AHTV) di negeri Perak serta taman perindustrian strategik di Sabah dan Sarawak. 

Sementara itu, Anwar berkata kerajaan juga melaksanakan reformasi perundangan melalui penggubalan dan pindaan lebih daripada 80 undang-undang, termasuk Akta ILTIZAM, Akta Perkongsian Data, Akta Polis dan Akta Kanak-kanak. 

“Agensi penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Audit Negara dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) turut diperkasakan dalam usaha memerangi rasuah, ketirisan dan salah guna kuasa dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh dan berkesan,” kata beliau.

Perdana Menteri turut memaklumkan pengurusan fiskal diperkukuh melalui penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal sebagai usaha berterusan untuk mengurangkan defisit negara. 

Selain itu, kerajaan terus berusaha untuk mengekang kenaikan kos sara hidup, melalui pelaksanaan subsidi bersasar seperti diesel dan elektrik yang ditambah baik demi memastikan bantuan benar-benar sampai kepada golongan sasar, tanpa pembaziran sumber. 

“Kadar Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) juga ditingkatkan, penerima SARA telah diperluas daripada 700,000 penerima awal yang terdiri daripada golongan miskin tegar, kepada 5.4 juta penerima yang turut meliputi golongan B40. 

“Minggu lepas, saya juga telah mengumumkan pemberian SARA secara sekali beri sebanyak RM100 kepada semua rakyat berusia 18 tahun ke atas, melibatkan peruntukan RM2 bilion. Dengan itu, peruntukan bantuan STR dan SARA secara keseluruhan bagi tahun 2025 akan mencecah RM15 bilion,” kata beliau.

Sementara itu, Anwar berkata kerajaan juga telah meningkatkan pendapatan rakyat melalui perintah gaji minimum, Dasar Gaji Progresif dan SSPA. 

Beliau berkata kerajaan MADANI berjaya menaikkan gaji minimum melalui dua kali semakan, daripada RM1,200 kepada RM1,500 dan kemudiannya RM1,700. Manakala penanda aras gaji kehidupan wajar bagi pekerja syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) telah ditetapkan pada RM3,100 sebulan.  

“Lepasan TVET juga menikmati pendapatan yang semakin kompetitif, kebanyakannya melebihi paras gaji minimum RM1,700.

“Sebanyak 95.6 peratus graduan TVET telah berjaya mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat latihan,” kata beliau. 

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata penekanan turut diberikan terhadap projek kemudahan asas seperti baik pulih sekolah, klinik daif, kuarters guru, tentera dan polis, penyelenggaraan jalan raya serta projek tebatan banjir menerusi peruntukan sebanyak RM560.45 juta kepada Kementerian Kesihatan Malaysia dan Projek Bitara MADANI, bagi kerja-kerja naik taraf, baik pulih dan ubah suai 1,776 klinik kesihatan daif seluruh negara.  

“Sehingga kini, sebanyak 1,368 unit kuarters Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 3,088 unit kuarters Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah siap dibina, manakala 8,501 unit kuarters lagi sedang giat dalam pembinaan. 

“Dalam masa sama, sebanyak 69,141 unit kuarte

rs sedia ada bagi anggota ATM dan PDRM telah dibaik pulih dan dinaik taraf demi memastikan keselesaan dan kesejahteraan anggota dan keluarga mereka,” kata beliau.– Bernama

Continue Reading

Previous: Pelan strategik utama RMK13 rangsang industri pertumbuhan tinggi nilai tinggi – PM Anwar
Next: RMK 13: Tebatan banjir, akses jalan raya antara inisiatif infrastruktur RMK 13

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.