Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Kerajaan Madani ambil pendekatan pragmatik tangani subsidi bahan api di sebalik konflik Asia Barat
  • SEMASA

Kerajaan Madani ambil pendekatan pragmatik tangani subsidi bahan api di sebalik konflik Asia Barat

Utusan Sarawak 2 hours ago
KERAJAAN Madani ambil pendekatan pragmatik tangani subsidi bahan api di sebalik konflik Asia Barat. Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat mengurus lonjakan harga minyak global secara berhemah, tersusun, meskipun konflik di Asia Barat kini memasuki minggu keempat tanpa tanda-tanda reda.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berpandangan pendekatan kerajaan MADANI yang mengekalkan struktur subsidi bahan api sedia ada merupakan langkah pragmatik bagi meredakan impak kejutan harga minyak terhadap ekonomi domestik.

Beliau mengimbas krisis 2008 apabila harga minyak mentah Brent mencecah AS$148 setong, yang menyaksikan rasionalisasi subsidi secara drastik sehingga mencetuskan kenaikan mendadak harga bahan api dan lonjakan inflasi daripada 3.8 peratus kepada lebih lapan peratus dalam tempoh singkat.

“Rasionalisasi subsidi ketika itu amat ketara, dengan harga RON92, RON97 dan diesel masing-masing meningkat 72 sen, 78 sen dan RM1.00 pada 5 Jun 2008. Akibatnya, kadar inflasi melonjak daripada 3.8 peratus pada Mei kepada 7.7 peratus, 8.5 peratus dan 8.5 peratus masing-masing pada Jun, Julai dan Ogos 2008.

“Kerajaan kini belajar bahawa rasionalisasi subsidi perlu dilaksanakan secara tepat. Pelaksanaan subsidi bersasar menggunakan MyKad keitka ini lebih terarah, sekali gus mengurangkan beban golongan berpendapatan rendah dan sederhana,” katanya kepada Bernama.

Menurut beliau, struktur subsidi semasa yang membolehkan semua pemegang lesen memandu sah menikmati subsidi tanpa mengira pendapatan, berdepan isu kemampanan sekiranya harga minyak global kekal tinggi dalam tempoh berpanjangan.

Dalam masa sama, beliau menegaskan keadaan semasa yang tidak menentu memerlukan pendekatan berhati-hati tanpa tindakan tergesa-gesa.

“Kita melihat Presiden Donald Trump cenderung ke arah gencatan senjata, walaupun isyaratnya masih belum jelas.

“Kejutan harga minyak turut memberi tekanan kepada kos sara hidup di Amerika Syarikat, khususnya menjelang pilihan raya pertengahan penggal November ini,” katanya.

Sementara itu, Mohd Afzanizam berkata, syarikat berkaitan kerajaan seperti Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mempunyai rangkaian perniagaan kukuh merangkumi lebih 100 negara, membolehkannya  mempelbagaikan sumber bekalan minyak dan gas dari pelbagai sumber termasuk Kanada, Amerika Latin, Balkan dan Afrika.

Tenaga Nasional Bhd pula memiliki ekosistem tenaga yang mantap, khususnya dalam pengurusan campuran tenaga termasuk arang batu dan gas yang merangkumi sebahagian besar bekalan, sekali gus berupaya menampung sebarang gangguan bekalan.

“Keupayaan ini mencerminkan kematangan syarikat berkaitan kerajaan dalam mengurus kejutan bekalan serta memastikan kelangsungan aktiviti ekonomi,” katanya.

Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan sebelum ini memaklumkan subsidi petrol bulanan meningkat kepada RM2 bilion, manakala subsidi diesel kepada RM1.2 bilion, menjadikan keseluruhan RM3.2 bilion sebulan berbanding RM700 juta sebelum ini.

Setakat 3.27 petang ini, harga minyak mentah Brent meningkat 2.70 peratus kepada US$105 setong.

Dalam perkembangan sama, Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi Negara IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan, menyifatkan langkah kerajaan berkesan dalam jangka pendek, khususnya melalui inisiatif bersasar seperti BUDI MADANI RON95 (BUDI95).

Namun, beliau mengingatkan dasar subsidi perlu diselaraskan secara berperingkat dengan harga global bagi mengelakkan tekanan fiskal berpanjangan.

“Tanpa pelan peralihan yang jelas, langkah jangka pendek ini berisiko menjadi kekangan fiskal struktur, sekali gus meningkatkan kemungkinan pelarasan dasar yang lebih mendadak pada masa hadapan,” katanya.

Beliau menambah, meskipun langkah semasa berjaya menstabilkan keadaan dalam jangka terdekat, ia masih belum mencukupi berbanding skala dan tempoh kejutan yang dihadapi.

“Sekiranya harga minyak kekal tinggi, kerajaan perlu beralih daripada pendekatan jangka pendek kepada menangani risiko fiskal subsidi bahan api secara lebih menyeluruh. Harga perlu diselaraskan secara berperingkat dengan paras global bagi memulihkan isyarat pasaran sebenar,” katanya.

– Bernama

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Konflik Asia Barat: Mahasiswa disaran urus kewangan lebih berhemah
Next: Kuota BUDI95 diselaraskan sementara kepada 200 liter sebulan mulai 1 April ini

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.