
SONG: Sebanyak 43 sekolah di seluruh Sarawak yang terjejas akibat kerosakan sistem solar hibrid susulan banjir bakal dibaik pulih menerusi peruntukan lebih RM30 juta di bawah pelaksanaan Pakej 2 projek baik pulih yang dilaksanakan kerajaan.
Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, projek tersebut adalah susulan kerosakan akibat banjir yang melanda beberapa kawasan sejak dua hingga tiga tahun kebelakangan ini.
Menurutnya, kerosakan utama yang dikenal pasti melibatkan bateri dan inverter sistem solar hybrid sementara panel solar di bumbung sekolah didapati masih berada dalam keadaan baik dan boleh digunakan semula selepas kerja pembersihan.
“Selain itu, kerja-kerja fizikal lain turut dilaksanakan pada bangunan sekolah yang juga berfungsi sebagai dewan terbuka, memandangkan tahap kerosakan agak besar akibat banjir sebelum ini,” jelasnya kepada pemberita selepas majlis penyerahan surat setuju terima kepada syarikat kontraktor yang berjaya mendapat tender bagi melaksanakan kerja baik pulih tersebut, yang diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuk Bedil, Batang Ketibas, Song, petang tadi.

Nanta yang juga Ahli Parlimen Kapit berharap kontraktor yang dilantik dapat melaksanakan kerja dengan penuh tanggungjawab dan kualiti terbaik memandangkan projek ini amat penting bagi memastikan murid di kawasan luar bandar tidak ketinggalan dari segi kemudahan asas berbanding sekolah di bandar.
“Kita tidak mahu masyarakat luar bandar terus ketinggalan. Bekalan elektrik melalui sistem solar hybrid ini sangat penting untuk kelangsungan proses pembelajaran di sekolah-sekolah pedalaman,” ujarnya.
Beliau memberitahu, tempoh dua bulan diberikan kepada kontraktor untuk memulakan kerja dengan segera selepas surat setuju terima diserahkan.
“Komponen penting seperti inverter dan bateri dijangka tiba dalam tempoh dua bulan. Namun saya telah menyarankan agar kerja-kerja lain dimulakan terlebih dahulu tanpa menunggu peralatan tersebut sampai ke lokasi supaya projek dapat disiapkan dengan lebih cepat,” ujarnya.

Menyentuh langkah pencegahan pada masa hadapan, beliau berkata, aspek teknikal seperti kemungkinan meninggikan atau mengalihkan kedudukan komponen sistem akan ditentukan oleh JKR selaku agensi teknikal bersama kontraktor, bagi memastikan sistem lebih tahan sekiranya berlaku banjir lagi.
Nanta turut merakamkan penghargaan kepada tenaga pengajar di sekolah berkenaan yang selama ini berusaha memastikan kemudahan sekolah berada dalam keadaan terbaik meskipun berdepan cabaran bencana alam.
“Saya berterima kasih kepada Kementerian Pendidikan (KPM) yang berjaya mendapatkan peruntukan besar daripada kerajaan bagi menjayakan program ini, serta kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) khususnya cawangan elektrik yang memainkan peranan penting dalam pelaksanaan projek,” kata beliau.
Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas, Lidam Assan.
Oleh Akun Giman