KUALA LUMPUR: Kerajaan telah meluluskan permohonan subsidi upah bernilai RM1.283 bilion di bawah Program Subsidi Upah (PSU) 2.0 setakat 18 Jun, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata, jumlah itu telah disalurkan kepada 75,262 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian bagi 659,066 pekerja.
Bagi Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan, seramai 137,659 pekerja telah berjaya mendapat pekerjaan melalui program itu, katanya.
“Antara industri dan sektor utama yang mengambil pekerja termasuk pembuatan serta perdagangan borong dan runcit,” katanya dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) ke-59 yang dikeluarkan semalam.
Untuk Dana Pinjaman Mudah Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang dikendalikan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), Tengku Zafrul berkata setakat 18 Jun, jumlah permohonan yang telah diluluskan oleh bank-bank tempatan dan disetuju terima oleh PKS adalah RM12.14 bilion.
Ia akan memberi manfaat kepada sejumlah 25,711 PKS, jelasnya.
“Jumlah ini termasuk dana Kemudahan Bantuan Khas (SRF), Kemudahan Automasi dan Digitalisasi (ADF), Kemudahan Semua Sektor Ekonomi (AES) dan Kemudahan Agromakanan (AF).
“Walaupun dana SRF telah dimanfaatkan sepenuhnya, PKS masih boleh memohon skim pembiayaan yang masih tersedia melalui Tabung BNM seperti ADF, AES dan AF,” jelas beliau.- Bernama
Caption (Quots):
“Jumlah itu telah disalurkan kepada 75,262 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian bagi 659,066 pekerja. Bagi Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan, seramai 137,659 pekerja telah berjaya mendapat pekerjaan melalui program itu. Antara industri dan sektor utama yang mengambil pekerja termasuk pembuatan serta perdagangan borong dan runcit.”