Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Kerajaan kekalkan subsidi RON95 RM1.99 seliter, naikkan bantuan BUDI diesel kepada RM300 sebulan
  • SEMASA

Kerajaan kekalkan subsidi RON95 RM1.99 seliter, naikkan bantuan BUDI diesel kepada RM300 sebulan

Utusan Sarawak 4 hours ago
RATA-RATA pemilik kenderaan menggunakan inisiatif BUDI MADANI untuk keperluan harian mereka. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata harga subsidi petrol RON95 di bawah inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) akan dikekalkan pada RM1.99 seliter walaupun harga pasaran meningkat susulan konflik di Asia Barat. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI mengekalkan subsidi RON95 di bawah inisiatif BUDI95 pada RM1.99 seliter dan menaikkan bantuan tunai BUDI DIESEL kepada RM300 sebulan daripada RM200 bagi tempoh interim.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini berkata keputusan itu dibuat walaupun harga pam petrol RON95 dan diesel meningkat susulan kenaikan harga minyak global.

“Kerajaan MADANI akan terus melindungi rakyat Malaysia melalui inisiatif subsidi bersasar BUDI MADANI serta bantuan tunai tambahan, tatkala pasaran minyak global terus berdepan ketidaktentuan,” katanya.

Menurutnya kenaikan harga bahan api ini berlaku susulan lonjakan harga minyak dunia akibat konflik di Asia Barat berikutan serangan ke atas Republik Islam Iran.

Pada Isnin, harga minyak Brent telah mencecah AS$119 setong sebelum kembali turun kepada sekitar AS$90 setong, namun keadaan pasaran kekal tidak menentu.

Sehubungan itu, MOF berkata harga pam RON95 dan RON97 dinaikkan sebanyak 60 sen seliter manakala harga pam diesel di Semenanjung Malaysia dinaikkan sebanyak 80 sen seliter.

Kementerian itu memaklumkan harga runcit bahan api bagi tempoh 12 Mac hingga 18 Mac 2026 bagi RON97 dinaikkan kepada RM3.85 seliter (harga 11 Mac 2026: RM3.25 seliter), RON95 tanpa subsidi pada RM3.27 seliter (harga 11 Mac 2026: RM2.67 seliter) dan diesel (Semenanjung Malaysia) kepada RM3.92 seliter (harga 11 Mac 2026: RM3.12 seliter).

Kementerian bagaimanapun berkata bagi melindungi rakyat daripada impak kenaikan harga pasaran produk petroleum, kerajaan akan mengekalkan harga bersubsidi RON95 untuk rakyat pada harga RM1.99 seliter melalui BUDI95 dan mengekalkan harga bersubsidi diesel untuk rakyat di Sabah dan Sarawak pada harga RM2.15 seliter.

Selain itu, katanya kerajaan turut mengekalkan harga bersubsidi diesel untuk sektor pengangkutan darat awam dan barangan di Semenanjung Malaysia pada harga RM1.88 dan RM2.15 seliter masing-masing serta menaikkan bantuan tunai bagi tempoh interim kepada pengguna kenderaan diesel yang layak dibawah BUDI Diesel Individu dan Budi Diesel Agri-Komoditi daripada RM200 kepada RM300 untuk bulan Mac 2026.

MOF berkata pembayaran tambahan RM100 akan dibuat mulai 17 Mac 2026.

“Pada masa sama, usaha penguatkuasaan akan dipertingkat bagi membendung ketirisan serta mencegah penyalahgunaan bahan api bersubsidi memandangkan harga bahan api di Malaysia masih kekal lebih rendah berbanding negara jiran,” katanya.

Menurut MOF, Kerajaan MADANI kekal komited untuk mengimbangi perlindungan kepada rakyat dengan kebertanggungjawaban fiskal dalam pengurusan subsidi negara.- Bernama

Continue Reading

Previous: Harga RON95 kekal RM1.99 seliter, bekalan minyak negara cukup sehingga Mei ini

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.