LAWAS: Kerajaan Sarawak sentiasa mengiktiraf dan komited dalam membangunkan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di negeri ini.
Komitmen ini dapat dilihat melalui berbagai inisiatif baharu dalam penyukatan tanah NCR daripada kaedah tradisi kepada pendekatan menggunakan teknologi moden.
Timbalan Ketua Menteri,Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan turut melahirkan rasa kecewa apabila kebanyakan tanah NCR yang telah disukat dan diberi hak milik ini terus terbiar tanpa diusahakan.
Sebaliknya beliau mahu agar tanah yang ada itu dimanfaat sepenuhnya untuk menjalankan aktiviti pertanian,ternakan mahupun perikanan darat.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri,Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak memberitahu demikian pada majlis perasmian Program Jangkauan Komuniti Pertanian (Agri-COP) dan Penyerahan Bantuan Enjin Sangkut Peserta PPP 2020 KPLB di Stadium Tertutup Lawas.
Seterusnya, beliau juga melahirkan rasa kesal kerana terdapat segelintir kecil penerima bantuan enjin sangkut telah menjual bantuan kerajaan ini.
Hakikatnya, kerajaan menghulurkan berbagai bentuk bantuan, latihan dan kemudahan lainnya adalah untuk golongan sasar ini meningkatkan pendapatan diri dan keluarga.
Pada masa sama, beliau memberitahu bagaimana pandemik Covid -19 ini perlu dijadikan iktibar kerana sepanjang waktu ini keperluan untuk sektor makanan terus meningkat.
Selain itu keadaan di negeri dan negara ini adalah jauh lebih baik daripada tempat lain yang mana memang memiliki sumber hasil bumi tetapi musnah akibat peperangan dan pergaduhan sesama mereka.
Keadaan yang baik di negeri dan negara ini adalah kerana adanya sebuah kerajaan yang stabil dan mempunyai dasar yang baik.
Oeh itu semua pihak harus bergerak maju bersama kerajaan yang sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai dasar penting untuk meningkatkan keupayaan rakyat dan produktiviti semua.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Luar Bandar Malaysia Dato’ Henry Sum Agong, Timbalan Presiden SABATI Dato Dayang Morliah Datuk Awang Daud,Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli, Sr. Datu Zaidi Mahdi, Residen Bahagian Limbang, Ir. Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pegawai Pertanian Bahagian Limbang, Japaruddin Ali,Pegawai Daerah Lawas,Ladin Atok, Pengerusi Wanita MAKSAK Bahagian Limbang Rosnah Tangkong.
Oleh ADENG EDRUS