Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Kerajaan gariskan tiga fasa strategi tangani krisis tenaga global
  • SEMASA

Kerajaan gariskan tiga fasa strategi tangani krisis tenaga global

Utusan Sarawak 5 hours ago
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof ketika berucap pada Kongres Jihad Bisnes di Dewan Mutiara, Kuching, hari ini. Foto Shahrul Qaizat

PETRA JAYA: Kerajaan Persekutuan telah menggariskan tiga fasa strategi utama bagi menangani potensi krisis tenaga global susulan ketidaktentuan geopolitik, khususnya konflik di Asia Barat yang memberi tekanan kepada rantaian bekalan tenaga dunia.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, langkah tersebut melibatkan pendekatan jangka pendek, sederhana dan panjang bagi memastikan kestabilan bekalan tenaga serta mengurangkan impak terhadap ekonomi negara dan rakyat.

Beliau berkata, antara fokus utama ketika ini adalah mengurus penggunaan tenaga secara lebih cekap, meningkatkan rizab bekalan serta mempercepat peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui seperti solar.

“Sekiranya konflik berlarutan, kesannya akan dirasai dalam tempoh beberapa bulan termasuk kenaikan kos logistik, insurans dan harga bahan api. Oleh itu, kerajaan telah mengambil langkah awal melalui pemantauan rapi dan perancangan strategik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Kongres Jihad Bisnes di Dewan Mutiara, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Fadillah turut menegaskan kepentingan ‘jihad ekonomi’ sebagai usaha bersepadu untuk memperkukuh kedudukan ekonomi negara, bukan sahaja di peringkat kerajaan tetapi melibatkan seluruh lapisan masyarakat.

Menurutnya, jihad ekonomi bukan sekadar berkaitan perniagaan, sebaliknya merangkumi usaha meningkatkan ilmu, kemahiran serta daya cipta rakyat bagi melonjakkan negara keluar daripada perangkap ekonomi berpendapatan sederhana.

“Jika kita mahu menjadi negara maju, rakyat perlu menguasai ilmu dan kemahiran, khususnya dalam bidang sains, teknologi dan inovasi supaya kita menjadi pencipta, bukan sekadar pengguna,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan keterjaminan makanan dan pengurangan kebergantungan kepada import sebagai antara cabaran utama yang perlu ditangani melalui pengukuhan ekonomi tempatan.

Selain itu, beliau berkata sektor tenaga dan air turut menawarkan peluang besar kepada usahawan tempatan, termasuk dalam pembangunan teknologi baharu serta penyelesaian lebih kos efektif bagi menangani isu seperti kehilangan air tidak berhasil (NRW).

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan kerajaan telah menubuhkan mekanisme pemantauan melalui mesyuarat berkala serta jawatankuasa khas bagi menilai perkembangan global dan kesannya terhadap ekonomi negara.

“Langkah ini penting supaya kita sentiasa bersedia dan dapat bertindak segera dalam memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara serta ekonomi negara kekal stabil,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata rakyat juga perlu memainkan peranan dengan mengamalkan penggunaan tenaga secara berhemah sebagai langkah awal menghadapi kemungkinan gangguan bekalan pada masa hadapan.

“Ini bukan untuk menakutkan, tetapi sebagai persediaan supaya negara kita kekal aman, stabil dan makmur walaupun berdepan cabaran global,” ujarnya.

Oleh Shahrul Qaizat

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Selat Melaka kekal titik sempit transit minyak terbesar dunia
Next: AirAsia X tiada hasrat kurangkan pekerja, cuti tanpa gaji walaupun berdepan tekanan industri

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.