
SIMANGGANG: Terdapat banyak perancangan yang telah dilaksanakan serta dalam fasa perancangan bagi merancakkan lagi ekonomi rakyat terutamanya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis berkata sokongan masyarakat berbilang kaum amat diperlukan untuk bersama-sama membangunkan daerah itu.
“Saya yakin dengan kerjasama padu daripada semua pihak tidak mustahil bagi merealisasikan impian untuk menyaksikan kawasan DUN Simanggang amnya dan Bahagian Sri Aman khususnya menjadi sebuah kawasan yang membangun dan maju dari segala aspek.
“Saya berharap semua lapisan masyarakat di DUN Simanggang dapat bekerjasama dengan saya berkongsi idea untuk memajukan kawasan ini yang memiliki potensi besar terutamanya dalam sektor pertanian dan pelancongan,” katanya semasa merasmikan majlis Sejambak Kasih Selamat Hari Gawai Dayak anjuran Pertubuhan Meninggikan Akhlak Che Chuan Khor, hari ini.
Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata beliau komited untuk membawa lebih banyak pelabur ke Bandar Simanggang sekali gus menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada penduduk di kawasan itu.
Katanya, banyak rundingan bersama pelabur luar telah dilakukan antaranya rundingan untuk mewujudkan pasar raya terbesar dan juga perhotelan.
“Apabila pembangunan banyak dibawa masuk, maka ekonomi penduduk sekali gus meningkat dan beberapa hari lalu saya telah berjumpa dengan beberapa orang pelabur menyatakan ingin menawarkan membuka pasara raya terbesar di Bandar Simanggang.
“Dengan kemasukan pelabur ia diyakini dapat merancakkan sektor ekonomi di Bandar Simanggang sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada anak muda di bahagian ini,” jelasnya.
Harden mahu ibubapa merebut peluang dasar pendidikan percuma untuk anak Sarawak yang akan dilaksanakan pada 2026 yang bakal memberi banyak manfaat kepada anak Sarawak belajar di universiti milik kerajaan Sarawak.
“Di Sri Aman, kita sudah ada Kampus Sarawak Skills, dimana pihak kita telah mempunyai perancangan untuk mewujudkan kampus tersebut secara kekal yang akan dilaksanakan tidak lama lagi. Justeru, dasar pendidikan percuma yang akan dilaksanakan nanti, pastinya ia adalah peluang bagi pelajar meningkatkan pelajaran ke peringkat tinggi dan kita tumpukan kepada anak-anak Sarawak untuk melanjutkan pelajaran di universiti milik kerajaan Sarawak sendiri,” ujarnya.
Dalam majlis tersebut, seramai 250 orang penerima telah menerima sumbangan bakul makanan yang terdiri daripada mereka yang kurang berkemampuan dalam meringankan beban penduduk dalam menyambut perayaan Gawai Dayak tidak lama lagi.
Harden berkata, kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Pertubuhan Meninggikan Akhlak Che Chuan Khor Sri Aman tidak pernah meminggirkan golongan kurang bernasib baik setiap kali tibanya musim perayaan.
Beliau menambah, sumbangan seperti ini tidak hanya dilaksanakan pada musim perayaan Gawai Dayak sahaja, malah ia juga akan meliputi perayaan Tahun Baharu Cina dan juga Hari Raya Aidilfitri dan lain-lain perayaan.
Pada majlis tersebut Harden turut menyampaikan replika cek geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM20,000 kepada Pertubuhan Meninggikan Akhlak Che Chuan Khor Sri Aman dan RM15,000 kepada Sri Aman Soon Heng Society.
Turut hadir Pengerusi Pertubuhan Meninggikan Akhlak Che Chuan Khor Sri Aman, Temenggung Kueh Aik Seng, Pengerusi Sri Aman Soon Heng Society, Tay Chiew Hua, Pemanca Lee Siang Hua, Pemanca Denneil Saweng dan Timbalan Setiausaha Pertubuhan Meninggikan Akhlak Che Chuan Khor Sri Aman, Chong Sze Meng.
Oleh Adi Safarman