KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran mempertingkatkan usaha membaik pulih ekonomi negara menerusi pakej bantuan kepada golongan yang bekerja sendiri, pekerja, bantuan kepada isi rumah golongan B40 dan M40 serta subsidi upah yang lebih besar meskipun hutang kerajaan hampir melepasi paras had statutori 60 peratus.
Felo Penyelidik Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Muhammed Abdul Khalid berkata, situasi kewangan negara ketika ini membolehkan Malaysia untuk menyalurkan bantuan lebih banyak kepada rakyat dan pada masa yang sama kerajaan wajar mempertimbangkan untuk berhutang dengan institusi pelabur tempatan kerana kadar pinjaman adalah lebih rendah.
“Mengambil contoh krisis ekonomi pada tahun 1986, kadar hutang negara adalah melebihi seratus peratus dan dalam tempoh tidak sampai 10 tahun, fiskal kerajaan menjadi kukuh dan mencatatkan lebihan,” katanya dalam program ‘Malaysia Petang Ini’ terbitan Bernama TV.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).
Muhammed berkata bantuan yang diumumkan hanya mencerminkan enam peratus dari saiz ekonomi negara, sehingga kini kerajaan telah memperkenalkan lapan pakej bantuan rakyat yang bernilai RM530 bilion bagi merangsang ekonomi negara serta mengurangkan beban rakyat.
“Daripada RM530 bilion, kerajaan mengeluarkan sebanyak RM83 bilion manakala RM120 bilion adalah daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), moratorium (RM210 bilion) dan sebagainya.
“Jika dibandingkan dengan negara serantau, Thailand berbelanja lebih daripada Malaysia walaupun Malaysia melaksana sekatan perjalanan dalam tempoh yang lama. Malaysia mampu memberi empat kali ganda subsidi upah kepada syarikat-syarikat tempatan dan memanfaatkan 5.5 juta pekerja, bantuan bulanan kepada mereka yang bekerja sendiri dan seterusnya golongan B40 dan M40,”jelas beliau.
Mengenai tahap pemulihan ekonomi negara, Muhammed berkata, keadaan ekonomi negara ketika ini masih belum pulih memandangkan ekonomi negara menguncup sebanyak 5.6 peratus pada tahun lepas.
“Ekonomi masih belum pulih dan tidak berkembang berbanding sebelum penularan Covid-19. Penguncupan sebanyak 5.6 peratus dicatatkan tahun lepas dan unjuran pertumbuhan dijangka kira-kira empat peratus pada tahun ini.
“Pertumbuhan ekonomi harus mengambil kira faktor gaji, upah dan sebagainya serta tidak tertumpu hanya kepada Kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Beliau berkata pertumbuhan KDNK tidak mencerminkan keadaan sebenar ekonomi negara dan bagi tempoh dari tahun 2016 sehingga 2019, kadar kemiskinan relatif Malaysia meningkat daripada 16 peratus kepada 17 peratus walaupun kadar KDNK mencatatkan pertumbuhan.
Menurut Statistik Gaji dan Upah bagi 2020 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, purata gaji dan upah bulanan berkurangan sembilan peratus pada 2020, penurunan buat pertama kali sejak statistik berkenaan direkodkan mulai tahun 2010.
Dalam pada itu, daripada 13 juta pekerja warganegara pada 2020, bilangan penerima gaji dan upah adalah seramai 9.8 juta orang, selepas dua tahun berturut-turut merekodkan purata melebihi RM3,000, purata gaji dan upah bulanan menurun kepada RM2,933 pada 2020 berbanding RM3,224 pada tahun 2019.
Muhammed berkata, jumlah rakyat Malaysia yang kehilangan pekerjaan meningkat sehingga 41 peratus berbanding tahun lepas, ini menunjukkan keadaan ekonomi negara berada di dalam keadaan yang tidak baik, justeru lebih banyak bantuan harus diberikan bagi mempercepat pemulihan ekonomi negara.
– Bernama