PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak digesa memperluaskan dasar Deposit Perumahan dan Skim Bantuan Bayaran Balik (HDRAS) dengan menaikkan ambang pendapatan isi rumah kepada RM15,000 sebulan.
Presiden Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA), Augustine Wong Chung Ho berkata memperluaskan HDRAS juga akan melengkapkan inisiatif deposit Madani yang dicadangkan oleh Kerajaan Persekutuan dalam Bajet 2025.
Inisiatif deposit MADANI yang disediakan hingga RM30,000 dalam bentuk bantuan kewangan adalah untuk memudahkan komitmen pembayaran bulanan bagi pembeli rumah kali pertama B40 dan M40.
”Kami (SHEDA) juga mencadangkan peningkatan bantuan kewangan HDRAS kepada 10 peratus harga hartanah daripada RM10,000 semasa dan membenarkan pemohon yang layak menggunakan bantuan itu untuk membeli mana-mana hartanah di pasaran terbuka.
”Kami percaya cadangan ini akan menjana impak ekonomi yang positif terhadap kemampuan perumahan, sekali gus menggalakkan kemampanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ekspo Hartanah SHEDA 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Selain itu, beliau turut mencadangkan untuk membenarkan pembeli menggunakan geran HDRAS untuk membeli mana-mana hartanah dari pasaran terbuka, selagi pemohon layak.
”Kemampanan dicapai apabila pertumbuhan ekonomi, kemajuan sosial dan pemuliharaan alam sekitar, bekerjasama dalam cara yang menghasilkan gabungan sempurna kemakmuran dan produktiviti yang berpanjangan.
”Dalam cara yang sama, pembangunan hartanah adalah titik penumpuan pelbagai industri dan sektor, daripada bekalan pembinaan, logistik dan pembangunan tanah kepada pendidikan, produktiviti dan buruh.
”Oleh sebab itu, pemaju hartanah memerlukan sesi penglibatan pihak berkepentingan antara jabatan dengan kerap untuk memastikan projek yang dirancang, selaras dengan visi kerajaan dan mematuhi pihak berkuasa dan peraturan yang berbeza,” tambahnya.
Oleh RYNNA SHA’ERRA
Gambar
Presiden Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA), Augustine Wong berucap pada Ekspo Hartanah SHEDA 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini. Foto HERRIEY NAHA