KUALA SELANGOR: Kerajaan sedang mencari jalan penyelesaian bagi membantu mengurangkan beban rakyat yang menghadapi masalah kewangan tanpa perlu mereka mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana pencarum sudah beberapa kali membuat pengeluaran KWSP sebelum ini, dan keadaan ini pastinya menyebabkan simpanan untuk persaraan mereka semakin berkurangan.
“Banyak yang telah dikeluarkan (simpanan KWSP) sebelum ini. Jadi ada yang tinggal RM10,000, RM5,000. Mereka yang nak keluarkan wang itu kena fikir apa pilihan yang ada.
“(Misalnya) pencen empat tahun lagi, apa nak jadi? katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Syarahan Ulung Kursi Siddiq Fadzil di Universiti Selangor, Kampus Bestari Jaya di sini, semalam.
Anwar berkata demikian ketika ditanya sama ada pengeluaran KWSP akan turut dipertimbangkan dalam Belanjawan 2023.
Beliau berkata, kerajaan perlu membuat pertimbangan terhadap kebenaran bagi pengeluaran KWSP itu untuk mengelak rakyat terbeban selepas bersara kelak.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata tumpuan Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan pada 24 Februari ini, adalah mengenai usaha untuk menangani masalah defisit negara, isu pendigitalan, keselamatan makanan dan kos sara hidup rakyat.
“…yang lain akan saya umumkan semasa (pembentangan) belanjawan itu nanti,” katanya.
Berhubung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang didakwa terkilan kerana tidak diundang menghadiri mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan pada Selasa lepas, Anwar berkata mesyuarat itu hanya melibatkan parti-parti yang mengasaskan Kerajaan Perpaduan.
“Sebenarnya, mesyuarat itu adalah mesyuarat dalam kalangan parti-parti yang mengasaskan Kerajaan Perpaduan…yang lain (mesyuarat bersama parti lain yang menyokong Kerajaan Perpaduan) akan dibawa dalam jawatankuasa,” katanya. – Bernama