KUCHING: Keputusan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menangguhkan sesi persekolahan bagi sekolah menengah dan rendah di tiga daerah iaitu Kuching, Padawan dan Samarahan yang dijadualkan disambung 15 Julai ditangguh ke 3 Ogos depan adalah langkah terbaik.
Presiden Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) Ahmad Malie berkata, ia adalah tindakan terbaik oleh pihak Kerajaan Sarawak untuk menangani penularan pandemik Covid-19.
“Namun kita hendak mengingatkan masyarakat khususnya warga guru dan pelajar untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam usaha mengelakkan berlakunya gelombang kedua pandemik Covid,” katanya kepada Utusan Sarawak, semalam.
Ujarnya, pihaknya menggesa agar ibu bapa dan juga penjaga yang berada di daerah terlibat dengan jangkitan Covid-19 untuk memastikan anak-anak tetap berada di rumah di sepanjang tempoh penangguhan sesi persekolahan.
“KGBS. mengingatkan bahawa penangguhan pembukaan sesi persekolahan ini bukanlah cuti sekolah bagi murid-murid, oleh itu KGBS menyeru agar mereka mesti sentiasa berada di rumah serta sentiasa menjaga keselamatan dan kesihatan diri dengan serius,” katanya kepada Utusan Sarawak, semalam.
Menurutnya, bagaimanapun pihaknya tetap akur dengan keputusan kerajaan untuk menangguhkan lagi pembukaan sesi persekolahan sejumlah 138 sekolah rendah dan menengah di tiga daerah tersebut.
Timbalan Ketua Menteri juga pengerusi JPBNS, Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada Jumaat berkata keputusan berkenaan diambil atas nasihat Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Majlis Keselamatan Negara Negeri Sarawak dan persetujuan bersama antara semua pihak termasuk wakil Kementerian Pendidikan Malaysia (Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak).
Penangguhan tersebut melibatkan Kelas Peralihan, Tingkatan 1, 2, 3 dan 4, Tingkatan 6 Rendah, dan sekolah rendah melibatkan Tahun 5 dan 6 yang dijadualkan bermula pada 15 Julai 2020 serta sekolah rendah bagi Tahun 1, 2, 3 dan 4 yang dijadualkan 22 Julai, namun sesi persekolah bagi kelas Prasekolah, Tadika, Tingkatan 5 dan Tingkatan 6 Atas, sesi persekolahan diteruskan seperti biasa.
Oleh Zarina Abdullah