
TANAH MERAH ,11 Julai -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed (kanan) beramah mesra dengan orang ramai pada lawatan kerja di Gugusan Felda Kemahang di Felda Kemahang Satu hari ini.?-- fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA???TANAH MERAH, July 11 -- Minister in the Prime Minister's Department (Economy) Datuk Seri Mustapa Mohamed (right) having a light moment with all people during working visit at Gugusan Felda Kemahang at Felda Kemahang Satu today.?-- fotoBERNAMA (2020) COPY RIGHTS RESERVED?

TANAH MERAH: Kerajaan memberikan tumpuan serius untuk membantu kumpulan bersasar iaitu isi rumah yang berpendapatan dibawah RM2,500, antaranya termasuk kelompok masyarakat Orang Asli dan peneroka.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, jika sebelum ini sasaran sememangnya tertumpu kepada kumpulan B40 yang mempunyai satu kelompok sahaja, namun kini ia dipecahkan kepada empat kelompok, dengan paling rendah adalah kelompok dalam kategori B10.
“Dulu hanya ada kalangan kelompok B40 sahaja, tetapi sekarang ada empat kelompok dibawahnya dan yang paling rendah dalam kelompok itu adalah B10 yang mana pendapatan isi rumah mereka hanya RM2,500 kebawah.
“Jadi tumpuan kerajaan akan disasarkan kepada kelompok ini, dan dengan mendapat maklumat tepat kita akan rangka strategi untuk membantu mereka secara bersasar,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pertemuan Petugas dan Pemimpin Gugusan Felda Kemahang di Dewan Semai Bakti Felda Kemahang 2 di sini semalam.
Sebelum ini, Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan nilai purata Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) nasional ialah pada kadar RM2,208 iaitu dalam kelompok sepuluh peratus terbawah isi rumah.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dilaporkan berkata, pendapatan penengah tumbuh sederhana 3.9 peratus setahun kepada RM5,873 pada tahun 2019 dan pendapatan purata pula meningkat 4.2 peratus setahun kepada RM7,901.
Mustapa berkata, kemiskinan di luar bandar lebih tinggi dari kemiskinan di bandar, dan juga kemiskinan di kalangan orang Melayu adalah lebih tinggi berbanding kaum India dan Cina serta masyarakat di pedalaman Sabah.
Mengulas perkara itu lagi Mustapa berkata, beliau yakin Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah merangka strategi yang lebih baik untuk menangani garis kemiskinan negara.
Selain itu katanya, kerajaan juga tidak akan melupakan masyarakat Orang Asli yang juga sedang menanti strategi yang lebih mantap untuk memajukan ekonomi mereka dan perkara itu akan diperhalusi dalam Rancangan Malaysia Ke-12.
Sementara itu Mustapa berkata, dalam minggu ini beliau akan mengadakan pertemuan dengan Pasukan Petugas khas Felda dalam usaha menangani pelbagai isu membabitkan Felda, di mana beliau akan mendengar taklimat mengenai cadangan untuk memantapkan Felda sebelum dibentangkan kepada perdana menteri September ini.
“Kita nak melihat model baharu Felda untuk mermpelbagaikan pendapatan membabitkan lebih 110,000 keluarga semuanya,” katanya. – BERNAMA