
LUMUT: Kerajaan akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi meneliti cadangan pemindahan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan program Matrikulasi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata langkah itu, merupakan sebahagian daripada perancangan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang akan bermula pada tahun hadapan.
“Sebuah jawatankuasa perlu dibentuk untuk meneliti proses kesinambungan, sebelum ini (STPM dan Matrikulasi) di bawah KPM (Kementerian Pendidikan) dan kemudiannya ke KPT.
“Ia akan ambil sedikit masa memandangkan laporan daripada jawatankuasa ini akan dibentangkan di Parlimen. Kemudian, perubahan yang dibuat turut akan melibatkan perubahan akta sedia ada,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Kunci Penempatan Semula Nelayan (PSN) di Arena Terbuka Teluk Gadung, Pulau Pangkor di sini hari ini.
Pada 7 Dis, media melaporkan Zambry memaklumkan kerajaan memindahkan program STPM serta Matrikulasi daripada KPM ke bawah KPT, bagi menyelaraskan proses penilaian dan laluan kemasukan pelajar ke peringkat universiti, dengan ia merupakan antara perubahan besar yang akan dilakukan kerajaan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi 2026 hingga 2035.
Sebelum ini juga, media melaporkan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Nik Nazmi Nik Ahmad mencadangkan agar laluan kemasukan ke universiti awam melalui STPM dan Matrikulasi diletakkan di bawah KPT, bukan KPM.
Selain itu, Zambry berkata dakwaan sesetengah pihak bahawa langkah itu boleh menjejaskan kepentingan sesetengah kaum tertentu adalah tidak berasas, selain memerlukan kajian menyeluruh.
“Saya berpendapat, isu ini tidak sepatutnya timbul lagi kerana ia masih pada peringkat penubuhan jawatankuasa. Jadi, saya tidak melihat bagaimana hak dan kepentingan mana-mana kaum tertentu akan terpinggir dengan pelaksanaan itu.
“Kebimbangan yang tercetus itu kita ambil perhatian, tetapi untuk membuat kesimpulan mengenai perkara yang belum dilakukan secara konklusif adalah terlalu awal,” katanya.
-Bernama