
TULISAN saya minggu lalu mengaitkan bagaimana fenomena jerebu kali ini agak luar biasa kerana walaupun ia berlaku pada musim monsun barat daya, tiada fenomena El Nino dan Indian Ocean Dipole (atau IOD).
Tetapi sebahagian kawasan Sumatera dan Kalimantan mengalami kekeringan, penurunan curahan di bawah aras normal agak lama dalam musim ini.
Musim monsun barat daya memang agak kering berbanding musim-musim lain.
Tetapi jika keadaan lebih kering berbanding keadaan biasa pada musim barat daya ini, ia akan menjadi situasi lebih kering, lebih sesuai berlakunya kebakaran hutan berskala besar dan menjana episod jerebu, sama ada akibat aktiviti guna tanah atau kebakaran semula jadi.
Bukan sahaja di kawasan-kawasan ini, malah di beberapa kawasan di Malaysia termasuk di Sarawak juga dilaporkan mengalami kebakaran hutan.
Ada kemungkinan juga keadaan kekeringan ini dipengaruhi oleh satu lagi fenomena iaitu Ayunan Madden Julian (atau MJO) yang boleh meningkatkan atau mengurangkan curahan hujan di kawasan Malaysia dan Indonesia mengikut fasa.
Tetapi pengaruhnya singkat, gangguan ini biasanya bergerak dari Lautan Hindi ke Lautan Pasifik merentasi kawasan rantau Malaysia dan Indonesia hanya dalam tempoh secara purata seminggu.
Mengambil kira fakta-fakta ini, termasuk hasil kajian pemodelan, unjuran perubahan iklim pada dekad-dekad mendatang menunjukkan kawasan di Malaysia and Indonesia dijangka menjadi lebih kering semasa musim monsun barat daya akibat perubahan iklim.
Ini berlalu walaupun tanpa kehadiran El Nino atau IOD, mendorong satu kesimpulan bahawa kemungkinan kita kini berada di ambang dimana pemanasan global telah mula mempengaruhi fenomena kebakaran hutan dan jerebu.
Ini akan menjadi norma baharu, iaitu berlaku setiap tahun walaupun tanpa kehadiran El Nino atau IOD, dan akan menjadi lebih teruk jika dengan kehadiran El Nino akibat impak bertindih perubahan iklim dan El Nino.

Kajian menunjukkan tren yang kita akan alami dari pertengahan hingga hujung abad ke-21, jika dunia gagal mengehadkan pemanasan global di bawah aras 1.5oC.
Tambahan lagi, kekerapan El Nino kategori kuat juga dijangka meningkat dua kali ganda jika dunia semakin panas.
Senario yang agak malap bagi rakyat, bila setiap tahun dalam musim monsun barat daya, kita berdepan dengan fenomena jerebu, cuaca panas dan kering melampau.
Bayangkan, pelbagai impak yang akan rakyat alami.
Bukan sekadar penyakit berkait pernafasan meningkat, kanak-kanak tidak dapat bersekolah, perubahan iklim akan mempengaruhi pelbagai aspek kehidupan manusia, keterjaminan makanan, alam sekitar, ekosistem dan pelbagai sektor ekonomi lain jika dunia gagal menangani isu perubahan iklim ini.
Pada siri akan datang, saya akan membuat pencerahan bagaimana perubahan iklim akan datang boleh mempengaruhi kehidupan rakyat.
Pada siri kali ini, saya memberi tumpuan kepada memberi kefahaman kepada rakyat mengenai apa sebenarnya keragaman perubahan iklim dan pemanasan global.
Keragaman iklim, perubahan iklim, pemanasan global sebenarnya bersifat saintifik, sememangnya sukar difahami oleh orang biasa, rakyat di luar sana.
Bukan sahaja rakyat biasa, malah sebahagaian pihak berkuasa, penyelidik bidang lain juga tidak memahami sepenuhnya isu ini.
Malah ada yang mengaitkan fenomena semula jadi seperti El Nino, IOD atau MJO ini sebagai fenomena perubahan iklim disebabkan oleh aktiviti tidak mampan manusia.
Sebenarnya itu kefahaman tidak tepat.
Sistem iklim dunia mempunyai sifat keragaman semulajadi, wujud variasi secara semula jadi walaupun tanpa pengaruh manusia melalui peningkatan gas-gas rumah hijau.
Ini bermakna, fenomena seperti El Nino, IOD, MJO dan beberapa mod keragaman iklim lain adalah fenomena semulajadi dengan ciri tersendiri, malah sebahagian dari keragaman iklim ini wujud sejak beribu dan jutaan tahun lalu.
Terkait dengan fenomena ini, kedaan iklim dan cuaca akan berubah secara semula jadi.
Kita akan berdepan fenomena seperti banjir, kemarau, cuaca panas disebabkan fenomena secara semula jadi, El Nino, La Nina, IOD, MJO.
Komponen-komponen keragaman iklim seperti ini, negara-negara di dunia tidak boleh kawal, kerana ia berlaku secara semula jadi.
Yang negara-negara di dunia boleh kawal dan perlu pastikan tidak menjadi teruk adalah pemanasan global dan perubahan iklim akibat peningkatan kepekatan gas-gas rumah hijau di atmosfera.
Jika pemanasan global meningkat, impak yang rakyat alami bukan sahaja dari keragaman iklim tetapi perubahan iklim dan impak bertindih kedua-duanya.
Malah, ciri-ciri El Nino, La Nina, IOD dan MJO ini juga boleh berubah jika dunia semakin panas.
Sebahagian orang memahami pemanasan global dan perubahan iklim fenomena yang sama.
Ia boleh diterima, tetapi secara saintifknya dan konsepnya, ada perbezaan.
Pemanasan global lebih merujuk kepada peningakatan suhu dunia akibat dari penyerapan haba berlebihan disebabkan oleh peningkatan gas-gas rumah hijau di atmosfera.
Perubahan iklim lebih merujuk kepada perubahan kepada sistem iklim dunia termasuk corak peredaran atmosfera dan lautan, curahan hujan dan cuaca ekstrem, peleburan ais dan glasier di khutub, dan pelbagai komponen lain.
Ramai orang tidak memahami isu perubahan iklim ini, bagaimana potensi ia akan menjadi lebih serius pada dekad-dekad akan datang jika dunia gagal menangani masalah ini.

Malah terdapat penyelidik bidang-bidang tertentu tidak memahami isu ini kerana mengambil perspektif yang sempit dan terhad.
Malah, berdasarkan pencerapan terhad di satu-satu kawasan atau pandangan bahawa perubahan iklim telah berlaku berjuta tahun, maka apa yang berlaku adalah sebahagian dari proses semula jadi.
Ini pandangan sempit. Sistem iklim dunia kompleks, bersifat global dan sukar untuk kesimpulan disandarkan kepada apa yang berlaku di lokasi tertentu atau satu penyelidikan dari individu atau organisasi tertentu.
Kesimpulan mengenai perubahan iklim mesti disandarkan dari pelbagai kajian di seluruh pelusuk dunia, melihat pelbagai komponen sistem iklim, bukti perubahan iklim beribu dan jutaan tahun lampau, keadaan iklim semasa dan masa hadapan.
Pelbagai dimensi dengan erti kata lain.
Dan dapatan atau laporan mengenai perubahan iklim semestinya dijalankan di atas pentas neutral tanpa didominasi oleh sesebuah negara, terutama negara yang mempunyai agenda tertentu.
Ini yang menjadi misi Inter Governmental Penal on Climate Change, Panel Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau IPCC.
Pada siri berikutnya saya akan membuat pencerahan apakah dapatan utama laporan penilai iklim IPCC terkini mengenai perubahan iklim yang rakyat perlu tahu.
Prof Dr. Fredolin Tangang adalah seorang ahli klimatologi, bekas profesor di UKM, felo Akademi Sains Malaysia dan kini bertugas di Universiti Brunei Darussalam. Beliau juga bekas Naib Pengerusi Kumpulan Kerja 1 Panel PerubahanIklim Antara-Kerajaan (IPCC), Pertubuhan Bangsa-BangsaBersatu (PBB).