
DEBAK: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, hari ini menyifatkan keputusan Ujian Penilaian Program Dwibahasa (UP-DLP) Tahun Enam di Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Gayau, Debak sebagai ‘baik tetapi belum memuaskan’.
Beliau menekankan murid perlu terus belajar bersungguh-sungguh supaya tidak terlepas peluang pendidikan percuma yang ditawarkan kerajaan negeri bagi pelajar Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Berucap pada Majlis Peluncuran Sekolah Angkat MADANI dan Majlis Apresiasi Kecemerlangan Murid 2025 di Dewan Sri Gayau, Uggah berkongsi pencapaian sekolah itu iaitu Bahasa Inggeris 83.36 peratus, Matematik 81.82 peratus dan Sains 95.45 peratus.
Menurutnya, keputusan ini membuktikan komitmen guru dan usaha murid, namun masih perlu dipertingkatkan agar lebih ramai pelajar mampu bersaing dan memenuhi keperluan masa depan Sarawak.
“Keputusan ini baik, tetapi belum memuaskan. Ia datang daripada kesungguhan para guru mendidik pelajar dan usaha murid yang belajar bersungguh-sungguh,” kata Uggah sambil merakamkan penghargaan kepada para pendidik.
Beliau turut menasihati murid agar tidak mudah terganggu dengan telefon pintar yang boleh membuka ruang kepada hiburan berlebihan dan kegiatan tidak sihat, termasuk judi dalam talian, sebaliknya menumpukan perhatian kepada pelajaran.
Uggah juga menampilkan Ketua Pengarah Biokeselamatan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dr Lornie Enggong, sebagai contoh teladan untuk murid setempat.
Selain itu, Uggah memaklumkan kerajaan Sarawak menawarkan Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) bagi pelajar STEM yang layak mengikuti kursus terpilih di universiti milik negeri. Beliau menggesa murid mengambil peluang ini melalui prestasi akademik yang cemerlang.
“Jangan ketinggalan. Belajar bersungguh-sungguh supaya dapat menikmati kemudahan ini. Siapa yang pandai dan layak akan mendapat pendidikan percuma,” tegasnya.
Dalam ucapannya, Uggah menekankan Sarawak memerlukan tenaga profesional seperti jurutera, doktor, peguam dan pakar kewangan bagi menyokong pembangunan negeri.
Beliau juga memaklumkan usaha berterusan bersama Ahli Parlimen Betong, Datuk Dr Richard Rapu, untuk memperbaiki infrastruktur sekolah termasuk pembinaan bangunan baharu dan jambatan lintasan atas.
Beliau menegur para ibu bapa supaya lebih terlibat dalam program sekolah, menekankan kecemerlangan murid adalah tanggungjawab bersama ibu bapa dan pihak sekolah.
Turut hadir, Setiausaha Politik Premier Sarawak, Rosline Mapong Sabai; Residen Bahagian Betong, Datu Richard Michael Abunawas; Pegawai Daerah Betong, Laga Kueh; Pegawai Pendidikan Daerah Betong, Mohamad Lela Alamsah; serta tetamu kenamaan yang lain.
Oleh Adi Safarman