ALEXANDRA LORNA
KUCHING: Sarawak membuat keputusan tepat kerana tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini, kata Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan(MBKS), Dato Wee Hong Seng.
Katanya, beliau gembira melihat kepemimpinan negeri yang berkebolehan dalam membuat keputusan dan mengambil keputusan terbaik untuk rakyat Sarawak.
“Ini adalah keputusan yang sukar dibuat tetapi ia adalah keputusan yang berani demi kepentingan semua orang Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.
Beliau menambah, jika Sarawak mengikuti keputusan Kerajaan Persekutuan dengan membenarkan perkhidmatan kedai kopi dan restoran beroperasi semula mulai 4 Mei, ia bukanlah satu perkara yang mudah seperti disangka.
“Bagi saya, tidak akan mudah dilaksanakan kerana kekurangan tenaga kerja dan kita masih berada di zon merah,” katanya.
Sementara itu, Wee dalam kenyataan di laman sosial Facebook beliau mengajukan soalan adakah Sarawak bersedia untuk PKPB setelah menyuarakan keprihatinannya terhadap sebilangan orang yang pergi ke pasar tempatan untuk membeli barang makanan Sabtu lalu.
“Adakah kita sudah bersedia? MBKS menetapkan prosedur operasi standard (SOP) di semua pasar. Inilah yang berlaku pagi ini (di Pasar Kenyalang).
“Sekiranya Sarawak menetapkan SOP untuk mengikuti kerajaan (persekutuan), bagaimana ia akan dilaksanakan?,” tanya beliau.
Wee turut berkata MBKS telah memasang penghadang di pasar termasuk pasar Stutong dan menasihati orang ramai untuk mematuhi SOP dengan tegas dan menjaga jarak sosial semasa PKP.