Keputusan ke LA 2028 perlu muktamad sebelum Sukan Asia – Azizulhasni 

Facebook
WhatsApp
LAGENDA berbasikal trek negara Datuk Azizulhasni Awang. Foto AFP

SEPANG: Legenda berbasikal trek negara Datuk Azizulhasni Awang berkata sebarang keputusan mengenai penglibatannya ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) perlu diperincikan melalui perbincangan terlebih dahulu.

Beliau berkata keputusan tersebut sangat kritikal dan perlu dimuktamadkan sebelum Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 bermula bulan depan, memandangkan proses kelayakan Olimpik yang teknikal turut bermula.

Pemenang pingat perak Olimpik Tokyo itu berkata fokus utamanya kini adalah untuk melihat sama ada khidmatnya masih diperlukan negara, bagi menggalas cabaran di LA28 kelak.

“Ini bukan tentang saya nak pergi Olimpik LA atau tidak, tapi sama ada Malaysia atau pasukan Malaysia memerlukan saya atau tidak untuk LA. 

“Jika pasukan Malaysia atau Malaysia memerlukan khidmat saya, saya akan boleh buat perancangan,” katanya kepada pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Glasgow, hari ini. 

Azizulhasni berkata beliau perlu duduk berbincang bersama-sama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal (PKBM), untuk meneliti perancangan tersebut.

Beliau berkata proses kelayakan ke Olimpik adalah sangat mencabar dan melibatkan banyak kejohanan di luar negara yang menuntut komitmen tinggi.

“Bagi Olimpik akan datang, kelayakannya sangat rumit. Banyak kejohanan yang kita perlu sertai seperti Kelas 1, Kelas 2, banyak travel, Piala Dunia pun banyak. Jadi, akan melibatkan banyak perkara yang perlu dibincangkan,” katanya. 

Azizulhasni berkata buat masa ini, fokusnya lebih terarah kepada persiapan menghadapi Sukan Asia yang akan membuka tirai pada 19 September. 

Bagaimanapun, beliau secara jujur mengakui, secara peribadi berasa sangat gembira jika dapat menamatkan karier ketika berada pada kemuncak prestasi pada masa ini. 

“Secara jujur, kalau boleh nak gantung basikal hari ini saja. Saya sangat gembira untuk akhiri karier saya pada kemuncak. Saya rasa macam anugerah daripada Allah apabila menang di Glasgow baru-baru ini,” katanya.

Beliau berharap kejayaannya, yang masih mampu mendominasi perlumbaan peringkat dunia pada usia 38 tahun, dapat menjadi sumber motivasi dan inspirasi kepada kalangan atlet muda negara.

Penantian Azizulhasni selama 16 tahun untuk bergelar juara Sukan Komanwel berakhir, apabila merangkul pingat emas menerusi acara keirin di Velodrom Sir Chris Hoy, baru-baru ini. – Bernama

Pochettino setuju kontrak baharu empat tahun

LONDON: Mauricio Pochettino bersetuju menandatangani kontrak baharu selama empat tahun sebagai ketua jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan lelaki Amerika Syarikat