KUCHING: Setiap keputusan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berdasarkan maklum balas daripada pihak yang berkaitan pakar perubatan, keselamatan dan ekonomi.
Tegas Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, keputusan yang diambil sudah pasti telah mengambil kira kesan terhadap sektor sosial dan ekonomi yang terbabit untuk Sarawak.
“Oleh itu, setiap pihak terutama masyarakat dan peniaga perlu mematuhi setiap arahan yang telah ditetapkan,” katanya ketika diminta pemberita untuk mengulas mengenai JPBNS akan mengumumkan strategi lebih terperinci setelah diperhalusi bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 dalam gelombang kedua.
“Arahan kawalan pergerakan antara daerah dan pengurangan jumlah penerbangan adalah semata-mata untuk membendung penularan kes jangkitan dari kawasan zon merah ke zon hijau dan mengurangkan merebaknya kes import dari luar Sarawak,” ujarnya lagi.
Dr. Abdul Rahman yang juga Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air Luar Bandar) menambah keputusan yang dibuat ini adalah untuk memastikan rantaian Covid-19 dapat diputuskan.
“Adalah penting sekarang untuk semua pihak terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan,
“Kita perlu menjaga diri kita dan keluarga kita. Tanpa sokongan kita mungkin sukar untuk menghentikan Covid-19 daripada terus merebak,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai.
Terdahulu, melalui kenyataan yang dikeluarkan pada 26 Julai lalu, antara strategi JPBNS untuk memutuskan rantaian Covid-19 adalah kawalan pergerakan antara daerah, pengurangan jumlah penerbangan dan engurangkan tempoh masa operasi perniagaan.