SIBU: Keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri melepaskan hak Kerajaan Persekutuan ke atas tapak Kawasan Keselamatan Rajang (RASCOM) kepada kerajaan Sarawak membuktikan komitmen kedua-dua kerajaan dalam memperkukuh pembangunan luar bandar dan memenuhi aspirasi rakyat Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana berkata, keputusan bersejarah itu bukan sahaja mencerminkan semangat kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak, malah selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dalam memperjuangkan kepentingan rakyat negeri ini.
Menurutnya, tiga daripada empat kawasan Skim Penempatan Semula (SPS) RASCOM yang terlibat dalam penyerahan itu, iaitu SPS RASCOM Nanga Jagau, SPS RASCOM Nanga Ngungun dan SPS RASCOM Nanga Tada, terletak di bawah kawasan DUN Ngemah.
Beliau berkata, isu penyerahan tanah SPS RASCOM telah berulang kali dibangkitkannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bagi membolehkan proses perancangan dan pelaksanaan pembangunan dilaksanakan dengan lebih cekap, tersusun serta berpaksikan keperluan rakyat.
“Saya mengalu-alukan dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas keputusan yang amat signifikan ini, di samping mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Sarawak yang sentiasa komited memperjuangkan hak-hak negeri demi kesejahteraan rakyat,” jelasnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Anyi berharap penyerahan tanah tersebut menjadi titik permulaan kepada pembangunan yang lebih menyeluruh di kawasan SPS RASCOM dengan memberi keutamaan kepada penyediaan jalan raya, bekalan air bersih, elektrik, telekomunikasi, kemudahan pendidikan, kesihatan, perumahan, kemudahan awam serta peluang ekonomi.
Katanya, pembangunan yang bakal dilaksanakan bukan sekadar membina kemudahan fizikal, malah membuka lebih banyak peluang pendidikan, pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar agar generasi muda dapat membina masa depan yang lebih baik tanpa perlu meninggalkan kampung halaman.
Beliau yakin kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan Sarawak, agensi pelaksana dan masyarakat setempat akan membolehkan kawasan SPS RASCOM berkembang sebagai kawasan yang lebih maju, inklusif dan berdaya saing.
“Keputusan bersejarah itu perlu diterjemahkan kepada manfaat yang nyata kepada rakyat untuk memperkukuh pembangunan luar bandar dan memastikan tiada komuniti yang tercicir daripada arus kemajuan Sarawak,” katanya.
Oleh Akun Giman




