KUALA LUMPUR: Keputusan membatalkan perancangan sebuah kementerian dan agensi untuk membawa 68 pegawai ke satu pameran di Berlin mendapat sokongan penuh Jemaah Menteri, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata memasuki dua tahun pentadbirannya, tidak pernah mana-mana menteri dan pimpinan parti politik di dalam Kerajaan Perpaduan mempertikaikan sebarang keputusan beliau berkaitan tatakelola.
“Setakat dua tahun ini saya dengan pasukan dalam Kerajaan Perpaduan, belum ada sekali mana-mana menteri atau pimpinan yang mempertikai keputusan kita (seperti) pertama, (projek) mesti tender, jangan bagi kebocoran.
“… dan bila baru-baru ini saya terjah satu agensi kerajaan (yang mahu) hantar 68 orang ke pesta di Berlin, saya dapat sokongan penuh daripada Kabinet… ini pertama kali dalam sejarah Perdana Menteri kata tak payah pergi,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian pada Forum Ilmuan Malaysia MADANI (FIM) di sini, malam tadi.
Perdana Menteri berkata beliau perlu bertegas dalam perkara itu bagi memastikan amalan sedemikian tidak diteruskan.
“Kenapa saya perlu buat? Sebab rakan saya seperjuangan bagi sokongan penuh. Menteri nak pergi juga kami kawal,” katanya.
Pada masa sama, Anwar mengingatkan Jemaah Menteri supaya sentiasa terbuka untuk mendengar pandangan baharu dan tidak terikat dengan kepompong pemikiran lama.
“Ia penting untuk kesinambungan. Tanpa suntikan idea baharu, kita akan lebih dalam keadaan selesa, pendekatan kita terlalu terikat. Oleh yang demikian, tidak mungkin kita akan berkembang.
“Kita mesti meneroka disiplin baharu termasuk digitalisasi, kecerdasan buatan, kejuruteraan dan matematik,” katanya.
Beliau juga mengulangi tekadnya untuk tidak berkompromi dalam menyelesaikan isu berkaitan GISB Holding Sdn Bhd (GISBH).
“Saya bertekad bahawa saya tidak akan berkompromi. Kalau itu kena kompromi, tidak ada makna saya jadi Perdana Menteri,” katanya.
FIM adalah inisiatif yang diilhamkan oleh Perdana Menteri sebagai platform penting bagi menghimpunkan para ilmuan, tokoh industri dan pemimpin masyarakat pelbagai latar belakang untuk membincangkan isu kritikal yang dihadapi rakyat.
Selain itu, ia menjadi platform dialog intelektual yang inklusif di mana pelbagai pandangan daripada masyarakat sivil, akademik dan industri dapat disampaikan untuk membantu kepimpinan negara merangka dasar serta polisi masa hadapan.
Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong. – Bernama