Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Kepulauan Bijagos perlahan-lahan ditelan laut, penduduk luah kebimbangan
  • GLOBAL

Kepulauan Bijagos perlahan-lahan ditelan laut, penduduk luah kebimbangan

Utusan Sarawak 4 hours ago
PANDANGAN udara sebuah pulau di Kepulauan Bijagos pada 1 Disember 2025. Kepulauan Bijagos mempamerkan keindahan alam semula jadinya menakjubkan. Namun, kawasan yang memiliki kepelbagaian biodiversiti luar biasa ini, bersama para penduduknya, kini berdepan ancaman akibat laut yang semakin menghampiri. Foto AFP

GUINEA-BISSAU: Ombak biru kehijauan memukul pantai berpasir putih di Kepulauan Bijagos, yang mana penduduk tempatan bimbang kenaikan paras laut akan menenggelamkan pulau-pulau mereka.

Terletak di pesisir Atlantik Guinea-Bissau yang beriklim tropika, tapak Warisan Dunia UNESCO ini menjadi habitat koloni penyu laut, kuda air, jerung serta hampir 850,000 burung migrasi.

Kepulauan ini menempatkan beberapa tapak suci serta perikanan tradisional yang menjadi sumber rezeki kira-kira 25,000 penduduk.

Terdiri daripada 88 pulau dan pulau kecil hanya kira-kira 20 daripadanya didiami secara kekal — kepulauan ini meliputi lebih 10,000 kilometer persegi (3,850 batu persegi).

SEORANG kanak-kanak perempuan duduk di atas buaian yang tergantung pada sebatang pokok di Pulau Rubane, Kepulauan Bijagos, pada 30 November 2025. Foto AFP

“Setiap tahun, kami kehilangan sehingga dua meter pantai,” kata Antonio Honoria Joao, pembantu pentadbiran dan penganjur komuniti di Institut Biodiversiti dan Kawasan Marin Terlindung Guinea-Bissau (IBAP).

Beliau berada di Bubaque, salah satu pulau paling padat penduduk di kepulauan itu dengan hampir 5,000 orang. Joao memberitahu AFP bahawa pulau tersebut berada “dalam bahaya.”

“Lima puluh tahun lalu, pantainya sangat luas,” katanya sambil berjalan di sepanjang sisa jalur pantai yang dipenuhi bangkai kanu dan tembok runtuh.

“Hari ini, semuanya dikuasai air, dan ia terus mara.”

Dahulu begitu jauh

Adriano Carlos Souarez mengendalikan sebuah kem pelancongan tepi laut sejak 2020.

Untuk melindungi tapak itu daripada hentaman ombak, beliau membina penghadang setinggi 10 meter menggunakan tayar terpakai.

Namun, sebahagian bangunan itu telah rosak, dan sebatang pokok kapok besar yang berfungsi sebagai benteng juga berisiko tumbang.

PANDANGAN udara Pulau Bubaque di Kepulauan Bijagos pada 1 Disember 2025. Foto AFP

“Ketika saya membeli tanah ini, jaraknya lima atau enam meter dari laut. Tetapi kini jarak itu semakin mengecil,” katanya, sambil menambah beliau takut suatu hari rumahnya akan runtuh.

Di sebuah pasar kecil di Bubaque, Joia Mendes Cno, 45 tahun, mengimbau bahawa “keadaannya tidak seperti ini dahulu”, menggambarkan “laut yang suatu ketika dahulu begitu jauh.”

Penjual sayur itu berkata beliau berasa sedih melihat “air yang semakin mara setiap hari tanpa kami mampu berbuat apa-apa”.

Menurut laporan kerajaan bertajuk “Pelan Strategik Guinea-Bissau 2025”, garis pantai berundur sehingga tujuh meter setiap tahun, menyebabkan kehilangan hutan bakau dan mengancam manusia serta haiwan.

Sokongan tidak mencukupi

Perubahan iklim dan aliran air hujan yang mencetuskan tanah runtuh merupakan punca utama masalah ini, kata Joao dari IBAP.

PARA penumpang belayar menaiki bot kembali ke Pulau Bubaque ketika matahari terbenam di Kepulauan Bijagos, pada 30 November 2025. Foto AFP

Namun beliau juga mengutuk faktor manusia seperti pembandaran tidak terkawal di pulau-pulau serta pembuangan sisa di pantai, yang melemahkan daya tahan pesisir terhadap kenaikan laut.

Walaupun tapak lain turut terjejas, Joao berkata tahap kerosakan berbeza antara pulau.

Pulau yang dilitupi tumbuh-tumbuhan yang lebih baik serta pantai berbatu menjadikan sesetengah pulau lebih terlindung berbanding yang lain.

Dalam penyenaraian warisannya, UNESCO menyatakan terdapat “kebarangkalian tinggi bahawa perubahan iklim akan membawa perubahan dalam corak peredaran air, serta perubahan ketara paras laut dan, akibatnya, risiko hakisan dan pemendapan.”

Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (IPCC) sejak lama memberi amaran tentang kenaikan paras laut yang dikaitkan dengan pemanasan global, serta risiko terhadap penduduk kawasan pesisir, selain peningkatan risiko kehilangan biodiversiti dan kepupusan spesies tertentu.

IBAP sedang berusaha mengenal pasti kawasan terjejas, menanam pokok, dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan komuniti tempatan.

Namun ancaman itu masih besar, keluh seorang wakil NGO yang enggan dinamakan.

“Kami menerima sokongan daripada beberapa organisasi antarabangsa, tetapi ia tidak mencukupi,” katanya, sambil menggesa kerajaan melabur lebih banyak bagi memastikan kelangsungan pulau-pulau itu. – AFP

Tags: Global

Continue Reading

Previous: Hanbit-Nano milik innospace terhempas selepas pelancaran di Brazil
Next: Bangkai jet bawa Ketua Turus Tentera Libya ditemukan berhampiran Ankara

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.