
PUTRAJAYA, 17 Ogos -- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan bergambar bersama Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri) dan isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman selepas Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2020 bersempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Melawati hari ini. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA PUTRAJAYA, Aug 17 -- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah and Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah with Prime Minister Tan Sri Muhyiddin Yassin (left) and wife Puan Sri Norainee Abdul Rahman after the investiture of the 2020 federal awards, honours and medals in conjunction with the Kings birthday at Istana Melawati today. --fotoBERNAMA (2020) COPYRIGHTS RESERVED

PUTRAJAYA: Titah nasihat serta keprihatinan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terhadap kesejahteraan rakyat dengan sentiasa mengingatkan agar rakyat dari semasa ke semasa perlu menjaga kesihatan, keharmonian dan keselamatan ketika negara berdepan penularan pandemik COVID-19, amat dihargai rakyat sekalian.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mewakili pihak pentadbiran dan rakyat ketika merafak sembah tahniah sempena ulang tahun keputeraan rasmi Seri Paduka bagi tahun ini turut menzahirkan rasa bangga dan betapa beruntungnya dinaungi oleh Kebawah Duli Tuanku.
“Semestinya raja dan rakyat akrab di mata, sehati di jiwa, menjadi lambang kemegahan sebuah nusa,” katanya ketika merafak sembah tahniah itu pada istiadat menghadap dan pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat Persekutuan di Istana Melawati di sini semalam.
Di dalam ucapan Muhyiddin turut menyelitkan pantun:
Istana Negara tempatnya tenang,
Tuanku bersemayam di singgahsana,
Walau apa dugaan mendatang,
Raja dan rakyat berpisah tiada.
Ampun Tuanku Seri Paduka,
Sembah takzim menjunjung tinggi,
Semoga karar di atas takhta,
Doa rakyat setulus hati.
Muhyiddin dalam ucapannya turut menitipkan doa semoga Allah S.W.T mengurniakan kesihatan yang baik dan melanjutkan usia Seri Paduka serta Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
“Sesungguhnya rakyat keseluruhannya menyanjung tinggi dan menyayangi Ke bawah Duli Tuanku berdua,” katanya.
Muhyiddin berkata beliau dan anggota pentadbiran kerajaan menjunjung kasih terhadap Seri Paduka kerana kesudian berangkat untuk bertitah di Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 pada 18 Mei lepas, ketika negara masih berdepan dengan wabak Covid-19. — Bernama