Dalam sejarah ketamadunan manusia, kepimpinan tidak dapat dipisahkan daripada landskap kenegaraan. Demikian juga halnya dalam apa-apa juga bentuk perkumpulan atau perkelompokan, aspek kepimpinan berupa teras utama yang memastikan sama ada kemandirian, mahupun keutuhan entiti sedemikian. Malah, dalam struktur kekeluargaan, aspek berkenaan turut berperanan bagi menentukan keharmonian dan kerukunan terjamin. Namun, sejauh manakah aspek kepimpinan mampu menghalatujukan sesebuah entiti ke arah kebaikan dan menghindarkannya daripada terhumban dalam jurang kemusnahan?
Apabila disebut perkataan kepimpinan, pelbagai persepsi yang pastinya akan terbit, misalnya, pemimpin politik yang berhasrat memenuhi tuntutan tertentu, sama ada yang bersifat peribadi, berkumpulan, mahupun bersifat nasional. Demikian juga dengan pengembara yang meredah hutan belantara bagi merintis laluan agar ahli kumpulannya dapat mengikuti jejaknya, dan malah eksekutif sesebuah organisasi yang merangka strategi bagi mendepani saingan, pun ayah yang berusaha membaiki kehidupan keluarganya.
Secara teorinya pemimpin membantu diri dan orang lain untuk melakukan sesuatu tindakan atau perkara ke arah kebaikan. Pemimpin menetapkan matlamat, mencetus visi yang merangsangkan, di samping membawa sesuatu pembaharuan. Kepimpinan berkaitan dengan pemetaan hala tuju bagi mencapai kejayaan sebagai sebuah pasukan atau sesebuah organisasi, sesuatu elemen atau unsur yang bersifat dinamik, mencabar serta mengujakan. Bagi seseorang pemimpin, selain menentukan hala tuju, harus memiliki kemahiran dari aspek kepengurusan serta pentadbiran bagi memandu dan memacu individu di bawah kepimpinannya agar tidak terpesong atau tergelincir daripada landasan perjuangan.
Penggabungjalinan segala kemahiran, di samping ilmu pengetahuan yang diperoleh, berperanan besar bagi mencapai apa-apa juga matlamat yang disasarkan. Antara elemen yang wajar diberikan perhatian termasuklah merangka atau merencana sesuatu visi yang merangsangkan untuk masa hadapan. Untuk menetapkan sesuatu visi, pemimpin lazimnya memberi fokus terhadap kekuatan organisasi atau entiti melalui penerapan kaedah seperti Porter’s Five Forces, analisis PEST, analisis USP, analisis Kompetensi Teras dan SWOT. Pemimpin mengkaji kaedah untuk menginovsi, membentuk perkhidmatan dan kegiatan (sama ada perniagaan dan sebagainya), serta menerap strategi yang berkesan bagi mencapai kejayaan. Suatu tindakan primer adalah menguji kebolehcapaian visi berkenaan melalui kaji selidik yang bersesuaian, di samping menilai risiko utama melalui teknik seperti analisis senario.
Lantaran hal sedemikian, seseorang pemimpin wajar bersikap proaktif, berwawasan, berkeupayaan menyelesaikan masalah serta tidak bersikap selesa atau berpuas hati dengan apa-apa juga kejayaan yang dikecapi. Dalam situasi sedemikian, seseorang pemimpin menggabung jalin aspek analisis sesuatu visi dengan nilai-nilai kebersamaan dan keberadaan setiap daripada kalangan ahli sesebuah entiti atau organisasi.
Seseorang pemimpin seharusnya mampu memberi motivasi dan galakan kepada orang bawahannya. Dalam konteks ini, keupayaan mendepani faktor karenah dan sikap tenaga manusia, menjadi penentu keberhasilan. Aspek seperti budi bicara, keadilan, kefahaman, kemahiran berunding dan sebagainya menjadi teras pegangan dan amalan. Seperkara yang sering terbias daripada agenda pelan tindakan adalah penggilapan kemahiran dalam kalangan individu tertentu sebagai pelapis yang bakal menjadi pengganti pada masa hadapan. Agenda yang wajar diberikan perhatian primer bagi memastikan kesinambungan kejayaan sesebuah entity, akan tetapi hal sedemikian amat ‘dikhuatiri’.
Bukan mudah untuk memimpin, akan tetapi terlalu ramai yang sanggup bermati-matian untuk menempatkan diri atas kerusi kepemimpinan. Pelarasan fokus lebih kepada kuasa, kedudukan, ganjaran serta faedah yang bakal diperoleh. Malah, dalam konteks siasah, situasinya penuh adengan sketsa yang merimaskan, mendebarkan, meloyakan serta menjengkelkan. Tidak perlu dihuraikan dengan panjang lebar.
Tuntasnya, kepimpinan bukan sekadar menjadi ‘ketua’ semata-mata. Pemimpin mempunyai beban tugas serta tanggungjawab yang amat berat dalam penentuan sama ada kejayaan, mahupun kehancuran. Segala-galanya bergantung pada niat dan matlamat yang terpendam. Kejayaan kepimpinan bergantung pada nilai-nilai serta elemen-elemen yang ‘memimpin’ seseorang pemimpin. Tafsirkan sendiri.
Lindungi diri, lindungi bangsa, lindungi negara!