Abang Johari bercakap ketika sesi Townhall 9 Tahun bersama Premier Sarawak di Pusat Acara Hikmah Exchange, Kuching.
KUCHING: Jawatan kepimpinan negeri, termasuk jawatan Premier Sarawak, bukan milik mana-mana individu atau kumpulan tertentu.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sebaliknya jawatan itu adalah amanah rakyat yang hanya boleh ditentukan melalui pilihan rakyat sendiri.
Premier Sarawak menegaskan bahawa sebarang spekulasi mengenai siapa yang bakal menggantikan kepimpinan negeri pada masa hadapan harus dilihat dalam kerangka demokrasi dan kepercayaan rakyat.
“Jawatan ini bukan milik saya atau sesiapa. Ia milik rakyat. Kalau rakyat kata ‘ya’, maka ‘ya’. Kalau rakyat kata ‘tidak’, maka ‘tidak’.
“Faktor utama dalam memilih seorang pemimpin bukanlah kekuasaan atau kepentingan duniawi, sebaliknya amanah, integriti serta kesedaran bahawa kepimpinan akan dipersoalkan di hadapan Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi Townhall 9 Tahun bersama Premier Sarawak di Pusat Acara Hikmah Exchange di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata seseorang pemimpin perlu mempunyai pegangan moral dan keagamaan yang kukuh kerana setiap keputusan yang dibuat memberi kesan kepada rakyat dan negeri.
“Apa yang kita buat hari ini akan ditanya apabila kita berhenti nanti. Itu sebab amanah ini sangat berat,” jelasnya.
Premier Sarawak turut menekankan keperluan melatih generasi muda agar bersedia memikul tanggungjawab kepimpinan pada masa hadapan.
“Golongan muda perlu dididik supaya memahami bahawa kepimpinan bukan sekadar kedudukan, tetapi satu beban amanah.
“Diingatkan agar pemimpin muda tidak terperangkap dengan kepentingan dunia semata-mata, sebaliknya mengutamakan kebajikan rakyat dan kestabilan negeri,” tegasnya.
Menyentuh mengenai perjalanan politiknya, Premier Sarawak yang kini berusia 75 tahun berkata beliau telah berkhidmat sebagai wakil rakyat selama lebih 40 tahun dan tempoh perkhidmatannya suatu hari nanti akan berakhir.
Namun, beliau menyatakan bahawa kesinambungan pembangunan Sarawak mesti diteruskan tanpa mengira siapa yang menerajui kepimpinan negeri.
“Masanya akan sampai saya akan berundur, tetapi Sarawak mesti terus membangun,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pemimpin-pemimpin terdahulu yang telah memberi kepercayaan kepadanya sepanjang penglibatan dalam dunia politik.
Oleh Masrin Affirah