Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Kepimpinan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN diiktiraf negara serantau – Abang Johari
  • SEMASA

Kepimpinan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN diiktiraf negara serantau – Abang Johari

Utusan Sarawak 18 hours ago
PREMIER Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berucap pada Majlis Makan Malam Sambutan Hari Gawai Peringkat Sarawak 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, malam ini. Foto Bernama

KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merakamkan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan Kabinet atas kejayaan mengangkat nama Malaysia dalam mempengerusikan ASEAN tahun ini. 

Beliau berkata kepemimpinan Malaysia di peringkat serantau telah mendapat pengiktirafan daripada negara ASEAN serta rakan luar ASEAN yang menghargai pendekatan Malaysia sebagai negara berbilang kaum dan agama yang hidup dalam keharmonian.

YANG di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Majlis Makan Malam Sambutan Hari Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, malam ini. Foto Bernama

“Kita telah nampak beberapa pengiktirafan yang diberi oleh rakan-rakan ASEAN yang melihat bagaimana kita membangunkan negara kita yang berbilang kaum dan agama tetapi hidup di bawah satu bumbung sebagai satu keluarga besar.

“Dalam hal ini kita di Sarawak sudah tentu memberi sokongan ke arah meletakkan Malaysia sebagai negara yang dihormati oleh dunia pada hari ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, malam ini. 

Turut hadir Anwar dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zahid Hamidi. 

Menerusi sokongan Bank Pembangunan Asia (ADB), Abang Johari berkata kerajaan negeri komited dalam menzahirkan projek ASEAN Grid yang berpotensi besar sekali gus membolehkan Sarawak memainkan peranan strategik sebagai hab tenaga utama di rantau ini. 

“Saya telah bincang dengan Perdana Menteri tadi, satu perbincangan ringkas dan saya harap satu daripada strategi yang kami terima pakai akan merealisasikan visi untuk mempunyai ASEAN Grid yang akan memberikan satu lonjakan pembangunan ekonomi kepada ASEAN, lebih-lebih lagi dari sudut sumbangan oleh Malaysia,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau berkata kehadiran Anwar dan Zahid di majlis itu mencerminkan hubungan erat antara kerajaan Persekutuan dan Sarawak. 

“Sebenarnya saya dimaklumkan malam ini ada acara lain yang harus dihadiri oleh Perdana Menteri. Tetapi dia kata, tidak, saya mahu ke Sarawak, ini melambangkan tali persaudaraan yang erat,” katanya. 

Bertemakan ‘Peji Kenep Panau Pegep’ yang bermaksud ‘bersatu kita maju’ dalam bahasa etnik Kayan, majlis berkenaan diserikan dengan persembahan tradisional daripada kaum Orang Ulu, Bidayuh dan Iban. 

Turut hadir Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.

Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga pengerusi jawatankuasa induk sambutan dan barisan kabinet menteri negeri. 

-Bernama

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Rimini Street cadang ambil 1,000 jurutera di Malaysia
Next: Jadikan kepelbagaian kaum sebagai kekuatan negara – Anwar

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.