Kepimpinan baharu MAIS perkukuh usaha pelihara warisan budaya Sarawak – Uggah

Facebook
WhatsApp
Datuk Amar Douglas Uggah Embas menerima kunjungan hormat kepimpinan baharu MAIS yang diketuai Ketua Majlisnya, Datu Dr Neilson Ilan Mersat, di pejabat beliau di Petra Jaya semalam. Foto Pejabat Timbalan Premier Sarawak

PETRA JAYA: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menerima kunjungan hormat kepimpinan baharu Majlis Adat Istiadat Sarawak (MAIS) yang diketuai Ketua Majlisnya, Datu Dr Neilson Ilan Mersat, di pejabat beliau di sini semalam.

Kunjungan itu diadakan susulan pelantikan Datu Dr Neilson Ilan sebagai Ketua Majlis MAIS selepas beliau melapor diri pada 13 Julai lalu bagi menerajui badan berkenaan untuk tempoh tiga tahun.

Turut mengiringi beliau ialah Setiausaha MAIS, Elsie William; Ketua Seksyen Penyelidikan Adat Iban, Dr Lambat Lindong; Ketua Seksyen Budaya, Tradisi dan Sejarah, Dr Chali Ungang; Ketua Bahagian Khidmat Pengurusan, Connie Christopher Kesa; Ketua Seksyen Penyelidikan Adat Bidayuh, Marteena Joe; serta Ketua Seksyen Adat Orang Ulu, Nicholas Jok.

Dalam pertemuan itu, Uggah merakamkan ucapan tahniah kepada Datu Dr Neilson Ilan atas pelantikan beliau sebagai Ketua Majlis MAIS, selain mengucapkan tahniah kepada Elsie William yang dilantik sebagai Setiausaha MAIS.

Beliau berkata kepimpinan baharu itu diyakini mampu meneruskan agenda memperkukuh peranan MAIS sebagai institusi utama dalam memelihara, memperkasa dan memartabatkan adat istiadat serta warisan budaya masyarakat berbilang kaum di Sarawak.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Datu Dr Neilson Ilan dan Puan Elsie William atas pelantikan masing-masing.

“Saya yakin kepimpinan baharu ini akan terus memperkukuh peranan MAIS dalam memelihara, memperkasa dan memartabatkan adat istiadat serta warisan budaya masyarakat pelbagai kaum di Sarawak,” katanya.

Uggah berkata kepelbagaian adat, budaya dan tradisi yang diwarisi masyarakat Sarawak merupakan khazanah yang perlu terus dipelihara kerana menjadi asas kepada identiti, perpaduan serta keharmonian rakyat di wilayah itu.

Beliau berkata kemajuan sesebuah wilayah tidak hanya diukur melalui pembangunan fizikal dan ekonomi, sebaliknya turut bergantung kepada keupayaan memelihara identiti, adat istiadat dan warisan budaya yang menjadi jati diri masyarakat.

Menurut beliau, MAIS memikul tanggungjawab besar untuk memastikan khazanah budaya itu terus dipelihara, didokumentasikan serta kekal relevan kepada generasi akan datang melalui penyelidikan, pemerkasaan adat dan usaha pendokumentasian yang sistematik.

Uggah turut menyatakan keyakinan bahawa kerjasama erat antara kerajaan Sarawak dan MAIS akan terus diperkukuh bagi memperluas usaha pemeliharaan adat istiadat serta warisan budaya, sekali gus memastikan identiti dan nilai budaya masyarakat pelbagai kaum di Sarawak terus terpelihara untuk manfaat generasi masa depan.

Oleh Adi Safarman