Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Kepimpinan Abang Johari perkukuh hak Sarawak, Uggah seru rakyat terus bersatu sempena Aidilfitri
  • SEMASA

Kepimpinan Abang Johari perkukuh hak Sarawak, Uggah seru rakyat terus bersatu sempena Aidilfitri

Utusan Sarawak 9 hours ago
DATUK Amar Douglas Uggah Embas

KUCHING: Sarawak bertuah kerana memiliki seorang pemimpin yang berani dan berwawasan dalam mempertahankan hak negeri, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas sempena perutusan Hari Raya Aidilfitri 2026.

Menurut beliau, di bawah kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kerajaan negeri telah mengambil langkah tegas untuk menuntut semula serta melindungi kedudukan sah Sarawak sebagai rakan pengasas Persekutuan Malaysia.

Uggah menegaskan, pendekatan kepimpinan Abang Johari bukan berasaskan konfrontasi, sebaliknya berteraskan keadilan demi memastikan hak Sarawak dipulihkan seperti yang sewajarnya.

“Di bawah kepimpinan Premier Abang Johari, Sarawak telah mengambil langkah tegas untuk menuntut semula dan melindungi kedudukan sah kita. Kepimpinan beliau bukan mengenai konfrontasi, sebaliknya mengenai keadilan,” katanya.

Beliau berkata, usaha tersebut penting bagi memastikan generasi akan datang mewarisi negeri yang lebih kukuh, berdaya saing dan makmur.

Dalam pada itu, Uggah berkata sambutan Hari Raya Aidilfitri bukan sekadar perayaan keagamaan yang menandakan bermulanya Syawal, malah menjadi medan untuk menghayati nilai kesyukuran, kemaafan dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama.

Katanya, semangat perpaduan itu amat terserlah di Sarawak apabila rakyat daripada pelbagai latar belakang saling kunjung-mengunjung, berkongsi juadah serta meraikan perayaan dalam suasana harmoni.

Beliau turut menegaskan bahawa Aidilfitri juga wajar dijadikan ruang renungan untuk rakyat memahami jati diri, sejarah serta tanggungjawab bersama dalam mempertahankan hak, autonomi dan maruah negeri seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.

“Hak Sarawak bukan hadiah daripada sesiapa. Ia adalah sebahagian daripada janji besar yang dimeterai ketika Malaysia dibentuk,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa perjuangan mempertahankan hak Sarawak tidak boleh dipikul oleh seorang pemimpin sahaja, sebaliknya memerlukan sokongan padu seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

Menurutnya, perpaduan rakyat Sarawak akan memperkukuh suara negeri di peringkat nasional serta menjamin masa depan yang lebih cerah selaras dengan semangat “Segulai Sejalai”.

“Marilah kita berdiri teguh, berdiri dengan bangga dan bersatu dalam mempertahankan hak serta maruah Sarawak,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru rakyat untuk terus memperkukuh solidariti di belakang kepimpinan Premier dan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) demi memastikan Sarawak terus maju sebagai wilayah yang yakin, progresif dan makmur.

Uggah dalam pada itu merakamkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh umat Islam di dalam dan luar Sarawak.

Oleh Adi Safarman

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Umat Islam di Malaysia sambut Aidilfitri pada Sabtu
Next: Indonesia tetapkan Aidilfitri jatuh pada Sabtu

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.