Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WBS
  • Kepersisan Maksud yang Dituntut
  • WBS

Kepersisan Maksud yang Dituntut

Utusan Sarawak 2 years ago

Oleh: Mohidin Haji Malek

SAJAK, seperti yang dimaklumi serta difahami, berupa puisi Melayu moden yang berbentuk bebas dan tidak terikat pada jumlah baris, perkataan dalam sesuatu baris, rangkap, rima dan seumpamanya. Menurut H.B. Jassin, sajak ialah pengucapan dengan perasaan yang mengandungi fikiran dan perasaan. Lantaran itu, sesebuah sajak yang baik sewajarnya mampu menyantuni pemikiran khalayak pembaca dan mengusik naluri fikir untuk menaakul serta mengahayati pemikiran serta falsafah yang digagaskan oleh penulisnya. Di samping hal yang sedemikian itu, sajak terbentuk, dengan memetik kata-kata Samuel Taylor Coleridge, daripada “kata-kata terbaik dalam susunan terbaik” (the best words in the best order). Oleh sebab yang sedemikian, seseorang penyajak seharusnya menguasai bahasa bagi menyerlahkan keindahan sesebuah sajak. Hal yang sedemikian diperkuatkan dengan kenyataan W.H. Auden, penyajak British-Amerika yang terkenal dengan cara penulisan stilistik beliau bahawa seseorang penyajak, melangkaui perkara-perkara lain, ialah seseorang yang amat mendalam cintanya terhadap bahasa (A poet is, before anything else, is a person who is passionately in love with language).

            Oleh hal yang sedemikian, menjadi tuntutan primer bagi seseorang untuk “menajamkan” pengetahuannya tentang ilmu kebahasaan, seandainya mahu berjinak-jinak dalam dunia kepenulisan, tanpa mengira apa-apa juga genre yang dipilih. Hal yang sedemikian ini sering terbias dan terabai. Bukan kerana kecetekan ilmu kebahasaan, akan tetapi disebabkan keghairahan untuk menampilkan atau menyajikan sebuah karya yang indah dalam konteks pemilihan diksi-diksi yang difikirkan mampu memancing khalayak pembaca. Keghairahan inilah yang sering “memerangkap” penulis sehingga “mengabaikan” kepersisan serta kesesuaian penggunaannya dalam konteks tertentu. Sesebuah sajak yang terhasil sewajarnya mampu manyantuni serta “mengusik” deria fikir khalayak pembaca agar dapat, bukan sahaja memahami, tetapi menghayati serta menerapkan falsafah serta pemikiran yang ingin disampaikan oleh penulisnya dalam kehidupan seharian. Bertitik tolak daripada hakikat yang sedemikian, penekanan terhadap “keupayaan” menguasai aspek sematik, sintaksis serta morfologi, amat dituntut.  

            Bagi pendatang baharu dalam dunia kepenulisan, istilah-istilah yang dinyatakan di atas menimbulkan rasa seriau. Namun secara mudah maksudnya, aspek makna, proses pembinaan ayat, bentuk dan penggolongan kata. Penguasaan dalam aspek-aspek yang berkenaan mampu membolehkan seseorang penulis untuk “memanipulasikan” kata-kata yang diguna pakai bagi menghadirkan keindahan dalam sesebuah karya di samping melakukan “peniraian” makna. Peniraian makna dalam erti kata “melahirkan” maksud yang tersirat di sebalik kata-kata yang tersurat, atau berkias secara berhemah. Pun demikian, harus dielakkan daripada melakukan “pemetakan” atau compartmentalization dalam penghasilan sesebuah karya. Dalam erti kata yang lain, mesej yang ingin disampaikan “dikurung” atau “dipenjara” dalam sel pemahaman pengkaryanya semata-mata. Hal yang sedemikian hanya akan menyebabkan sesebuah karya menjadi “hak mutlak” pemahaman pengkarya yang tidak membuka ruang kebebasan khalayak pembaca untuk memahami mesej yang ingin disampaikan. Hal ini berbeza dengan konsep “peniraian’ seperti yang dinyatakan, yang memberi cukup ruang untuk khalayak “mengintai” makna sebalik tirai yang bersela-sela atau nipis.

            Dengan mengambil ingatan bahawa karya yang dihasilkan serta disiarkan berupa halwa baca untuk pembaca, hal-hal yang dinyatakan wajar diberikan perhatian yang khusus, terutamanya bagi pendatang baharu dalam dunia kepengarangan. Sehubungan itu, penulis melaraskan perhatian kepada tiga buah sajak yang disiarkan dalam ruangan ini pada minggu lepas, iaitu sajak “Tentang Kulit” nukilan Angel Samling, “Ayahku Berpulang” tulisan Ramli Hassan dan “Kekasih Hati yang Dirayakan” ilham cipta Alice Mohd. Daripada tiga buah sajak ini, dua buah daripadanya membawa persoalan yang hampir sama, iaitu orang tua atau ibu bapa, manakala sebuah daripadanya menyentuh tentang aspek kemanusiaan. 

            Sajak “Tentang Kulit” berupa luahan perasaan penulis tentang sikap serta peribadi manusia. Penulis mengambil imejan gagak dan enggang sebagai perumpamaan bagi menyatakan perbandingan status atau kedudukan. Gagak yang keseluruhan bulunya hitam dianggap sebagai “hodoh” sedangkan enggang, biarpun juga berbulu hitam, dilihat sebagai haiwan yang cantik dan menawan kerana terdapat corak warna seperti putih pada sebahagian bulunya serta warna perang dan merah pada bonggol dan paruhnya. Dalam ruang lingkup pembicaraan tentang sajak ini, Angel agak kurang berhati-hati memilih imej untuk dijadikan sebagai perbandingan. Dengan memberikan perhatian pada baris kedua dan ketiga, agak kurang sukar membayangkan “perbezaan” yang berlaku apabila dinyatakan “tentang kulit tubuhku/yang disisipkan pelepah enggang”. Hal ini kerana bulu pada sayap enggang sama warnanya, iaitu hitam, dengan bulu gagak. Selain itu, penggunaan diksi “pelepah” agak kurang persis memandangkan kata berkenaan membawa maksud “tulang bulu”. Dalam konteks ini lebih sesuai sekiranya Angel memilih burung merak sebagai perbandingan kepada burung enggang. Untuk situasi seperti ini, wajar dibuat rujukan tentang imej yang ingin diterapkan dalam karya yang dihasilkan agar tidak timbul ketidaksesuaian pemilihan imej yang dipaparkan. Ekoran daripada hal yang sedemikian, wajar diambil sebagai ingatan bahawa, bukan sahaja ilmu kebahasaan itu wajar dikuasai, namun kefahaman yang mendalam tentang sesuatu imejan yang ingin diketengahkan harus ada. Hal sedemikian memerlukan pengkarya melakukan rujukan. Angel cuba menitipkan mesej yang agak berat lewat sajak yang mengandungi tujuh baris ini. Usaha yang baik, namun demikian, agak kurang mengesankan. Namun, masih ada ruang untuk melakukan pemurnian bagi menjadikan sajak ini karya yang lebih mantap. Diimbas kembali sajak berkenaan.

Tentang Kulit

Telah gagak bisik padaku

tentang kulit tubuhmu

yang disisipkan pelepah enggang

aku terdiam

terus mendengar

dan memandang

ke dalam kulitku

            Sajak “Ayahku Berpulang”tulisan Ramli Hassan agak panjang dan mengisahkan tentang saat-saat akhir bersama-sama ayah beliau sebelum perginya ke alam abadi.  Sajak ini baik, namun, masih terkesan sedikit rencat dalam konteks pemilihan diksi yang sesuai dan persis, iaitu perkataan “qiam”, “babas”, “digumam” dan frasa “kematian darah”. Tidak ada kesilapan dalam konteks semantik penggunaan kata qiam yang bermaksud berdiri tegak ketika solat. Namun, dari segi kesesuaian penggunaannya apabila merujuk pada baris pertama dan kedua, timbul persoalan apakah perbuatan “mengucup tangan” seseorang yang sedang dalam kedudukan qiam itu suatu amalan yang dibenarkan di sisi agama? Hal yang sedemikianlah yang dimaksudkan apabila penulis makalah menekankan peri pentingnya memahami erti sesuatu perkataan. Begitu juga dengan penggunaan kata “babas”, kata dalam bahasa Melayu Sarawak yang merujuk rumput atau semak samun. Bukanlah satu kesalahan sekiranya saudara Ramli ingin menggunakan bahasa Melayu Sarawak. Namun, dalam konteks sedemikian perlu disertakan glosari bagi menjelaskan maksud dan asal perkataan berkenaan. Penggunaan perkataan “digumam” yang bermaksud dikemam atau terkulum dalam mulut agak kurang persis penggunaannya. Begitu juga halnya dengan frasa “kematian darah”.  Disorot kembali sajak berkenaan sebagai pemugaran ingatan.

Ayahku Berpulang

Kukucup mesra tangannya

yang dalam qiam sempurna

urat-urat timbul sempurna

belulang di tapak tangan

masih keras sedekad yang lepas

tatkala menghayun leban dan babas

demi menyambung nafas

hari ini,

dua tangan yang pegun dalam qiam

yang rukun

Seketika kutancap mata ke wajahnya

ada seri yang masih sama dari

zaman mudanya

ada ukir senyum menongkah kedut wajah

mengangkat seri muka yang

kematian darah

senyum inilah

yang dahulunya menyimpan sejuta resah

berjuta masalah

yang digumam teguh balutan

tawakal dan tabah

namun, senyumanya kali ini

hanya bisa kutatapi dalam

beberapa jam dan minit

berbaki.

Dalam dakapan bulan dinihari tadi

aku bermimpi

ayahnda berjubah putih

kutanya hendak ke mana ayah?

“aku hendak pulang” jawabnya

Sepatah

Dhuha itu

Ayahku berpulang.

            Sajak “Kekasih Hati yang Dirayakan” ilham karya Alice Mohd memperkatakan tentang pengorbanan kedua-dua ibu bapanya ketika membesarkannya. Keberadaan mereka pada setiap ketika adalah terjemahan kasih sayang mereka tidak pernah luntur. Jasa yang dicurahkan, pada pandangan Alice, wajar “dirayakan”. Dinukilkan sajaknya sebegini;

Kekasih Hati yang Dirayakan

Sedari azali aku disayangi

oleh insan bernama ayah dan bonda

sepenuh hati mereka mengasihiku

dalam cacat cela kelakuanku

dan susah senangku

keduanya tetap ada di situ

wahai kekasih hati yang

selayaknya dirayakan

ampunkan khilaf selama

diriku bernama anakandmu

dan teruskanlah mencurah

sayangmu

            Seperti dua buah sajak sebelumnya, terkesan ketidaktelitian pengkarya dalam memilih perkataan yang sesuai, antaranya termasuklah perkataan “azali”, “keduanya” dan “dirayakan”.

Perkataan “azali” bermaksud sejak dahulu, sedangkan “keduanya” memberi pengertian “yang kedua”. Dalam konteks sajak ini, perkataan “dilahirkan” lebih persis sebagai mengganti penggunaan “azali”, manakala kata “keduanya” pula digandakan menjadi “kedua-duanya. Kata “diraikan” lebih sesuai digunakan sebagai menggantikan perkata “dirayakan”. Secara keseluruhannya, sajak ini bersifat polos dan mudah difahami. Namun demikian, masih ada ruang untuk melakukan proses pemurnian serta penambahbaikan.

            Sebagai kesimpulan, dalam penghasilan apa-apa juga genre karya, ketelitian dalam pemilihan diksi, pembinaan ayat, penstrukturan penceritaan, penerapan pemikiran dan falsafah perlu diberikan perhatian yang serius. Begitu juga dalam konteks keabsahan sesuatu perkara atau imej yang ingin diketengahkan. Menulis tidak payah, tetapi mengilhamkan sesebuah karya yang bermutu, juga tidak mudah. Namun, kemahiran mampu dibina dan dipertajam dengan memperbanyak kegiatan pembacaan dan penaakulan karya-karya penulis tersohor, membuat rujukan dan berterusan menulis. 

            Kepada ketiga-tiga orang pengkarya, iaitu Angel Samling, Ramli Hassan dan Alice Mohd, tahniah dan syabas. Usah berputus asa, perkuatkan tekad dan pertingkatkan usaha untuk menambah sebanyak mungkin ilmu pengetahuan dalam dunia pengkaryaan, khususnya dalam genre sajak.

            Salam bahasa, salam sastera dan salam budaya. Bahasa jiwa bangsa.   

Continue Reading

Previous: PUISI
Next: Sandiwara Arikitek Membina Rumah Minda

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.