HUBUNGAN akrab antara kerajaan Sarawak dan Putrajaya sejak pembentukan Kerajaan Perpaduan yang dikenali sebagai Kerajaan Malaysia Madani memainkan peranan penting dalam memastikan terdapat pertambahan kerusi parlimen baharu melalui proses persempadanan semula. Terdapat beberapa faktor yang memanfaatkan jalinan hubungan mesra ini berterusan.
Antaranya ialah kerjasama antara kerajaan negeri Sarawak dan Kerajaan Pusat sangat akrab dari segi hubungan dua hala. Hal ini bermakna, ia membolehkan kerjasama yang lebih baik dalam pelaksanaan proses persempadanan semula. Kerjasama ini boleh membantu mengurangkan gesaan atau tekanan-tekanan politik yang boleh merimaskan keadaan yang boleh meningkatkan ketegangan. Ia juga dapat meneguhkan kesedaran terhadap keperluan penetapan semula bagi mengatasi masalah ketidakseimbangan pembahagian dan malaportionment.
Keperluan tempatan
Selain itu, hubungan mesra ini dapat mencetuskan pemahaman terhadap keperluan tempatan. Maka, kerajaan Sarawak dapat menyampaikan keperluan tempatan dengan lebih efektif kepada Putrajaya. Perkara ini termasuk menekankan aspek pertumbuhan penduduk, perubahan dalam corak migrasi, dan faktor-faktor lain yang perlu diambil kira dalam menentukan keperluan bagi penambahan kerusi parlimen. Inilah faktor dinamik yang perlu diambilkira apabila mempertimbangkan aspek tersebut.
Apabila berlakunya kerjasama antara pihak kerajaan Sarawak dan agensi-agensi di peringkat pusat seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), maka ini boleh merangsang penyelidikan dan kajian yang lebih mendalam tentang kepentingan dan keperluan sebenar persempadanan semula. Data demografi, geografi dan sosioekonomi yang tepat akan dapat digunakan untuk merancang persempadanan semula yang adil dan saksama.
Hubungan akrab dapat memastikan keterbukaan dan penglibatan awam yang lebih baik dalam proses persempadanan semula. Aspek ini melibatkan dialog dan perbincangan yang lebih terbuka antara pemimpin tempatan, masyarakat sivil dan pihak berkuasa pusat, yang dapat membentuk persepsi yang lebih positif terhadap keperluan penambahan kerusi parlimen.
Pematuhan prinsip undang-undang
Hubungan akrab ini mampu mendorong pematuhan terhadap prinsip undang-undang yang mengawal proses persempadanan semula. Prinsip seperti persamaan pembahagian, keadilan dan ketelusan harus diutamakan untuk memastikan bahawa hasil daripada proses ini adalah sah dan mendapat sokongan yang meluas.
Selain itu, apabila tercetusnya pemahaman yang mendalam terhadap faktor-faktor tempatan dan konteks politik Sarawak, maka ini dapat membantu mengelakkan kesilapan dalam penentuan pembahagian semula. Ini melibatkan isu yang mengambil kira budaya, demografi dan isu-isu politik tempatan yang mungkin mempengaruhi keputusan persempadanan semula.
Dengan memahami dan mengamalkan elemen-elemen ini dalam hubungan antara kerajaan Sarawak dan Putrajaya, maka ini boleh memastikan bahawa proses persempadanan semula dilaksanakan dengan berkesan untuk mencapai penambahan kerusi parlimen yang perlu dan saksama berdasarkan keperluan dan dinamika tempatan.
Yang penting sudah pasti Perdana Menteri yang memahami sentimen Sarawak, tidak akan mahu mengecewakan Sarawak dalam perkara itu. Semangat ini berdasarkan keikhlasan dan kejujuran dalam memulakan proses tersebut, bukannya pendekatan tidak memberikan apa-apa komen atau senyap berkenaan isu tersebut tanpa memberikan maklum balas sebenar.
Perkara 18 tuntutan Sarawak
Sebenarnya pertambahan kerusi parlimen merupakan perkara ke-16 yang terkandung dalam 18 perkara Sarawak yang dipersetujui yang menyatakan bahawa terdapat keperluan mengambil kira populasi penduduk Sarawwak, saiz dan potensi. Ia juga menyarankan, dalam apa-apa keadaan sekali pun ia hendaklah tidak kurang daripada perwakilan Singapura.
Berdasarkan ini, maka pertambahan kerusi Parlimen amat penting bagi Sarawak termasuk Sabah, sejajar status sama taraf dua negeri itu di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan ini akan dapat melindungi hak kedua-dua wilayah itu yang termaktub di dalam perlembagaan dengan mempercepatkan pelaksanaan ini .
Sabah dan Sarawak dijangka akan mendapat tambahan kawasan parlimen selepas tamat proses persempadanan semula, dengan Sarawak dijangka akan menerima sekurang-kurangnya 12 kerusi lagi. Ketika ini, kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak kurang daripada dua pertiga.
Realiti Sarawak
Hakikatnya, di Semenanjung ketika ini mempunyai 166 atau 75 peratus daripada 222 kerusi parlimen, manakala baki 25 peratus atau 56 kerusi melibatkan Sarawak (31) dan Sabah (25). Pada masa sekarang dijangka kerusi parlimen di bandar Sarawak dijangka menjadi tumpuan utama dalam pertambahan kerusi tersebut. Hal ini disebabkan bahawa terdapat
ketidakseimbangan pembahagian akibat kewujudan kawasan pilihan raya yang mempunyai pertumbuhan penduduk yang tinggi.
Aspek ini juga dikenali sebagai malapportionment atau ketidakseimbangan pembahagian yang diakibatkan oleh perbezaan saiz dan jumlah pengundi di kawasan pilihan raya. Nisbah pengundi kepada wakil rakyat menjurang tinggi. Pengundi yang tinggal di kawasan pilihan raya kecil lebih banyak. Hal ini dapat dilihat di Kuching, Miri dan Sibu misalnya, iaitu kawasan tumpuan pembangunan yang mengakibatkan berlakunya migrasi secara berterusan dan besar-besaran berlaku.
Faktor penarik seperti peluang pekerjaan dan perniagaan besar dan faktor penolak antaranya ialah kawasan asal mereka kurang membangun. Maka ini menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan jumlah kepadatan penduduk.
Jurang kawasan
Berdasarkan situasi ini, perlunya pembahagian yang saksama kecuali di kawasan luar bandar dan memastikan persempadanan ini adil dari segi agihan peruntukan dan tidak dipengaruhi oleh faktor kepartian politik dalam penentuan persempadanan yang berlaku. DUN Pending misalnya 30,488 pengundi manakala DUN Gedong mempunyai 7,208 pengundi dan ini bermakna nilai undi Pending empat kali kurang daripada Gedong. Aspek ini menunjukkan perbezaan pengundi yang besar dan mempengaruhi nilai undi yang jauh berbeza.
Berdasarkan pola ini, maka dijangka minimum 11 kerusi parlimen baru akan melalui persempadanan semula yang lebih memfokuskan kepada kawasaan kawasan pilihan raya yang mempunyai lebih daripada 100,000 pengundi berdaftar. Kawasan yang dikenal pasti ramai pengundi termasuklah Miri yang mempunyai 143,229 pengundi, Stampin (121,009) Bintulu (113,599), Petra Jaya (109,809), Bandar Kuching (109,710), Sibu (105,875), Lanang (87,356), Kota Samarahan (82,229), Puncak Borneo (79,969), Santubong (79,540), dan Serian (65,273).
Alasan yang digunakan adalah kepadatan tinggi menyukarkan perkhidmatan yang lebih berkesan. Terdapat kawasan yang maju, dan terdapat juga kawasan belum begitu maju dan ini merupakan cabaran persempadanan semula, sedangkan kawasan di luar bandar jumlah keluasan adalah besar walaupun penduduknya tidak begitu padat.
Maka, formula yang lebih adil tanpa mengabaikan kepentingan penduduk luar bandar perlulah diberikan perhatian. Kali terakhir persempadanan semula Sarawak dilakukan pada 2015 dan sebarang perubahan boleh dilakukan setiap lapan tahun sekali.
- Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).