PEMBANGUNAN akar umbi dalam konteks ruang masyarakat terpinggir ialah proses membantu menyusun kehidupan yang kurang terbela atau bernasib baik agar dapat meningkatkan kesejahteraan sosial, ekonomi dan budaya komuniti dalam masyarakat setempat. Hal sesuai untuk membina masyarakat yang adil dan saksama, menyemarakkan demokrasi setempat, dan memakmurkan ekonomi berasaskan ekonomi rakyat melibatkan rangkaian, penyertaan dan pembangunan organisasi. Ia penting untuk membina potensi diri dan komuniti yang lebih baik untuk mencapai kesejahteraan hidup.
Pembangunan akar umbi ialah proses perubahan yang terancang bagi memastikan perubahan sosial berlaku yang memberi kelebihan kepada masyarakat setempat untuk mengadakannya, membina gagasan dan membuat keputusan berdasarkan keperluan setempat. Sudah tentu ini berbeza dengan pendekatan keperluan asas yang menekankan pembangunan atas ke bawah yang dibuat untuk memenangi isu kemiskinan setempat yang lebih banyak menekankan aspek bantuan atas ke bawah tanpa banyak penglibatan aktif kalangan komuniti itu sendiri.
Misalnya, pendekatan keperluan asas membuat rumah secara percuma bagi orang miskin bagi membasmi isu tanpa kediaman yang selamat dan sempurna. Namun pendekatan pembangunan akar umbi pula memastikan rumah yang dibina tersebut bukan sahaja selesa, akan tetapi jaringan ekonomi yang membolehkan penduduk miskin itu berdikari dan mampu kurang bergantung kepada kepada bantuan kerajaan.
Pendekatan tickle -down juga dikritik sebagai mempunyai sejarah yang panjang dalam pembangunan luar bandar kerana dianggap mengakibatkan pembangunan masyarakat luar bandar yang tidak seimbang kerana warisan daripada pemikiran penjajah yang sengaja memberikan keperluan yang paling asas tanpa memperdulikan keseluruhan pembangunan yang diperlukan oleh rakyat.
Ia juga dilihat sebagai strategi golongan elit berkuasa yang hanya mahu menyelesaikan perkara asas meskipun banyak sumber dikuasai elit di kawasan luar bandar seperti balak, penanaman kepala sawit dan ini dilihat banyak berlaku di negara membangun.
Proses desentralisasi
Apabila proses pembangunan semakin berkembang pesat pada 1980-an dan 1990-an, maka terdapat kecederungan pasaran ekonomi semakin terpisah dengan aktiviti pusat. Hal ini sesuai dengan tuntutan sentimen ekonomi semasa bahawa tanpa campur tangan kerajaan, ekonomi akan lebih berkesan dan lebih jimat yang sesuai dengan ideologi dan agenda neoliberal.
Ideologi ini berfahaman bahawa pengurangan campur tangan kerajaan dalam aktiviti ekonomi dan sosial, tanpa pengawalan pasaran buruh dan kewangan, perdagangan dan pelaburan akan dapat membina kapitalisme yang mampu membawa kehidupan yang lebih baik.
Faktor politik juga membawa kepada pendekatan pembangunan akar umbi kerana apabila berlakunya pemindahan kuasa membuat keputusan kepada peringkat setempat, maka ini akan lebih mendapat sokongan dan sambutan daripada peringkat tempatan, ia juga membolehkan keputusan yang lebih baik dalam perkhidmatan dan pembangunan yang memenuhi konsep tadbir urus atau tata kelola yang lebih baik.
Perkembangan ini mula berlaku di negara membangun sama ada negara utara mahu pun negara selatan. Dalam konteks Kerajaan Persekutuan pula negara-negara tersebut sudah mula lebih memberikan pengagihan kepada negeri. Amalan ini seterusnya mulai berkembang dalam konteks pembangunan.
Ciri dan prinsip
Ciri-ciri pendekatan akar umbi termasuk berasaskan gerakan sosial tempatan yang mahukan perubahan dalam komuniti mereka lebih baik. Hal ini tercetus daripada isu yang melanda komuniti mereka seperti proses pembangunan yang perlahan, pembangunan tidak sejajar dengan kepesatan di kawasan lain.
Tuntutan ekonomi tempatan yang memerlukan perubahan dan pembangunan juga mencetuskan pembangunan akar umbi. Ia hadir daripada kebimbangan masyarakat agar pembangunan tersebut dapat diselaraskan, potensi ekonomi yang belum diterokai, keperluan untuk melatih penduduk setempat dapat menyumbang dalam sektor perekonomian setempat. Kesemua ini digabungkan dengan keperluan memelihara budaya setempat bagi membina ekonomi semasa.
Terdapat juga berlakunya penolakan terhadap pihak autoriti sama ada di peringkat agensi kerajaan atau pakar. Hal ini disebabkan pihak yang menganjurkan aktiviti pengisian sesebuah projek pembangunan tidak sesuai dengan citarasa budaya setempat mereka.
Misalnya kehidupan mereka lebih terlatih dalam pertanian, namun dianjurkan terlibat dalam sektor penanaman kelapa sawit. Maka, timbulah ketidakselesaan mereka yang mahukan alternatif yang lebih baik, bersesuaian dengan citarasa dan hasrat mereka. Sudah tentu mereka tidak menerima unjuran pakar atau pihak autoriti tersebut, dan sebaliknya mahukan mereka sendiri menentukan dalam proses membuat keputusan dan tindakan.
Peranan NGO
Apabila berlakunya penurunan proses membuat keputusan dari atas ke bawah, maka peranan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dilhat sebagai wadah penting bagi menangani isu pembangunan yang dilihat mampu merealisasikan rangkaian organisasi yang boleh berskala kecil, sederhana dan besar. Oxfam misalnya ialah NGO yang mempunyai rangkaian dan kerjasama di seluruh dunia. Di Sarawak banyak pertubuhan NGO antaranya ialah Friends Of The Orangutan, Sarawak Dayak Iban Association (SADIA), Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS), Badan Hak Adat Melayu Sarawak (BAHAM), Dayak Bidayuh National Association dan sebagainya. Pelbagai jenis NGO seperti bersifat pemerkasaan perjuangan etnik, haiwan, hak asasi, kesihatan, pembangunan dan sebagainya.
Semuanya, masing-masing mempunyai bentuk, pendekatan, falsafah, jenis aktiviti yang sering dilihat sebagai wadah penting dalam konteks pembangunan yang luas. Apa pun NGO tempatan dilihat mampu memberikan sumbangan yang lebih baik dengan masyarakat setempat kerana keahliannya rata-rata terdiri daripada penduduk setempat dan lebih mudah menyebarkan idea, menarik penyertaan dan mampu memanfaatkan pengetahuan setempat. Mereka juga mampu bertindak balas dengan lebih cepat dan menguasai budaya tempatan.
Pemerkasaan, penyertaan dan modal sosial
Masyarakat akar umbi dapat diperkasakan apabila diberikan tanggungjawab, suara dan aktiviti serta mewujudkan suasana yang lebih selesa dalam kalangan mereka. Dalam konteks jangka panjang ia mampu membentuk masyarakat sivil dan demokrasi. Pemerkasaan dapat dilaksanakan melalui membina keupayaan dalam kerjasama, perubahan dan mampu membina maruah dan jati diri.
Dari segi penyertaan, ia mampu memahami masyarakat setempat dan pemahaman mereka mengenai penentapan agenda pembangunan, kecekapan penglibatan komuniti tempatan dalam projek atau program yang dilaksanakan seterusnya membina kesedaran dan keyakinan diri yang lebih tinggi. Yang akhirnya mampu membina masyarakat sivil dan modal insan sebagai aset utama individu dan komuniti dalam proses membina pembangunan diri dan masyarakat dan setempat.
Modal sosial pula mampu menyumbang kepada modal insan seperti pendidikan dan kesihatan yang dapat melakukan interaksi antara individu dan kelompok seperti jawatan kuasa tempatan, pegawai kerajaan, ahli politik atau institusi sosial, budaya dan ekonomi.
- Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).