BETONG: Kepemimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang berwawasan dan berpandangan jauh bukan sahaja diiktiraf di peringkat kebangsaan, malah turut mendapat pengiktirafan antarabangsa.
Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata Abang Johari yang juga Presiden PBB telah dianugerahkan ‘The First Class of The Most Blessed Order of Setia Negara Brunei’ oleh Sultan Brunei, selain anugerah Seri Panglima Darjah Kinabalu oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah.
“Premier Abang Jo telah berjaya
mentranformasikan Sarawak sebagai wilayah berpendapatan tinggi yang diiktiraf oleh Bank Dunia apabila merekodkan pendapatan tertinggi daripada RM5.6 bilion pada 2017 kepada RM14.2 bilion pada 2024.
“Ini merupakan satu perkembangan yang kita banggakan. Pelaburan asing sebanyak RM21.3 bilion pada 2021 hingga 2023 dan berjaya mewujudkan 11,000 peluang pekerjaan.
“Belanjawan 2025 merupakan tertinggi dalam sejarah Sarawak yang memperuntukkan RM15.8 bilion. Dasar Premier adalah dengan pendapatan bertambah sehingga dapat diagihkan kepada rakyat. Belanjawan 2025 adalah bukti nyata bahawa Premier adalah seorang pemimpin yang prihatin atas kehendak rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan PBB Zon Betong yang telah disempurnakan oleh Abang Johari di Dewan Tan Sri Stephen Kalong Ningkan, di sini hari ini.
Uggah berkata Premier Sarawak juga telah meningkatkan jaringan keselamatan sosial melalui inisiatif kebajikan dari ‘buaian ke kubur’ yang dimanfaatkan oleh semua rakyat tanpa mengira usia dan latar belakang.
“Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) dengan peruntukan RM450 juta merupakan salah satu contoh kepada inisiatif tersebut. Beliau juga memberi penekanan khusus kepada pendidikan bagi mempersiapkan anak-anak kita menghadapi cabaran serta memenuhi keperluan bagi mereka terlibat dalam ekonomi baharu.
“Contohnya bantuan adalah seperti
duit poket sebanyak RM1,200 setahun kepada mahasiswa anak Sarawak yang belajar di universiti dalam Malaysia,” katanya.
Jelas Uggah, dalam tempoh lapan tahun, Premier telah melaksanakan pelbagai inisiatif dan mengambil langkah yang berani seperti melaksanakan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) dengan jayanya.
“Selain itu, beliau memperjuangkan hak dan apa yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Ini termasuk isu gas dimana Petros telah dilantik sebagai ‘aggregator’ gas di Sarawak.
“Pembelian saham terbesar dalam Affin Bank Berhad, mengambil alih Pelabuhan Bintulu dari Kerajaan Persekutuan, dan tidak lama lagi, kita di Sarawak akan memiliki syarikat penerbangan sendiri.
“Terima kasih kepada Premier atas
kejayaan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang turut melaksanakan projek jambatan mega dan projek lapangan terbang landasan pendek (STOLport) Bebuling di Zon Betong,” katanya.
Uggah juga berkata, pembinaan jambatan Batang Lupar 1 sepanjang 4.8 kilometer (km) bakal siap pada 31 Disember tahun ini, manakala pembinaan jambatan Batang Lupar 2 akan siap pada 8 Jun 2026.
“Begitu juga jambatan Sungai Lingga akan siap pada 11 Februari ini, jambatan Batang Saribas 1 (pakej 2) akan siap pada 18 Mei tahun ini, jambatan Batang Saribas 2 (pakej A4) akan siap pada suku ketiga tahun 2026.
“Jambatan Sungai Krian, Saratok akan siap pada April 2026 dan STOLport Bebuling akan siap pada 27 September 2025
“Ini adalah bukti Premier Sarawak melaksanakan apa yang dijanjikan, tiada retorik politik dan ini merupakan bukti yang nyata. Kita juga guna dana Sarawak. Secara peribadi, satu pencapaian yang sangat nyata setelah lapan tahun dibawah kepimpinan Premier Abang Jo,” katanya.
Uggah berkata kini dapat kita dilihat perpaduan ahli-ahli PBB berada pada tahap yang cukup tinggi dalam sejarah untuk terus berjuang memastikan PBB kekal relevan sebagai tonggak kestabilan, kemajuan dan kelestarian Sarawak.
Turut hadir ialah Timbalan Presiden PBB, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Naib Presiden Kanan PBB, Dato Sri Stephen Rundi Utom; Naib Presiden PBB, Dato Sri Julaihi Narawi; Pengerusi Tetap PBB, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar dan Setiausaha Agung PBB, Dato Sri Alexander Nanta Linggi.
Oleh ADI SAFARMA