
SIBU: Kepelbagaian kaum dan budaya terus menjadi asas kukuh kepada keharmonian masyarakat di Sarawak.
Timbalan Menteri Di Jabatan Premier (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Ukas, Datuk Abdullah Saidol berkata, perbezaan latar belakang bukan penghalang, sebaliknya menjadi kekuatan yang menyatukan rakyat pelbagai kaum di negeri ini.
“Tidak salah untuk setiap kaum memperjuangkan kepentingan masing-masing kerana itu adalah perkara semula jadi, namun kita tidak boleh melampaui batas sehingga menjadi rasis.
“Di Sarawak, kita hidup dalam suasana saling memahami dan menghormati,” katanya ketika berucap pada Program Gong Xi Raya anjuran Komuniti Madani Datuk Robert Lau Hoi Chew di SMI Park, malam tadi.
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
Beliau turut berkongsi pengalaman hidupnya yang dibesarkan dalam persekitaran masyarakat majmuk sejak kecil, bermula di Binatang ketika itu dan kini dikenali sebagai Bintangor sebelum melanjutkan pelajaran ke Semenanjung Malaysia sekitar awal 1970-an.
Katanya, pengalaman itu membentuk cara beliau melihat kepelbagaian sebagai satu kekuatan, bukan perbezaan yang memisahkan.
Abdullah Saidol turut mengimbau detik mencemaskan apabila terlibat dalam kemalangan serius sekitar 33 tahun lalu.
Beliau berkata, kejadian itu membuka matanya tentang pentingnya nilai kemanusiaan apabila seorang individu yang tidak dikenalinya tampil menyelamatkan nyawanya tanpa mengira latar belakang.
“Kita tidak tahu siapa yang akan membantu kita ketika dalam kesusahan. Sebab itu, kita mesti sentiasa menghargai kemanusiaan dan menjaga keharmonian,” ujarnya.
Abdullah Saidol berkata, Sarawak kini mempunyai lebih 2.5 juta penduduk terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum termasuk Dayak, Melayu dan Cina.
Katanya, kadar kelahiran di negeri ini dianggarkan sekitar 20,000 hingga 22,000 bayi setahun, manakala jumlah kematian pula antara 16,000 hingga 18,000 individu setahun, dengan majoriti melibatkan golongan berusia 60 tahun ke atas.
“Ini menunjukkan keperluan untuk menambah populasi serta memastikan kesinambungan pembangunan negeri pada masa hadapan,” jelasnya.
Katanya lagi, kadar perkahwinan campur yang tinggi di Sarawak mencerminkan tahap toleransi dan penerimaan antara kaum yang amat baik.
“Selain itu, jurang ekonomi antara kaum di Sarawak tidak begitu ketara. Di Sarawak, semua kaum berkongsi cabaran dan peluang yang sama,” katanya.
Beliau turut memuji usaha kerajaan Sarawak yang memberi penekanan kepada pembangunan luar bandar, pendidikan percuma serta pelbagai inisiatif kebajikan rakyat termasuk bantuan kepada pelajar dan ibu bersalin.
“Saya menggesa rakyat Sarawak agar terus mempertahankan keharmonian yang sedia ada, perpaduan adalah aset paling berharga negeri ini.
“Kepelbagaian ini adalah kekuatan kita. Jangan rosakkan keharmonian yang telah kita bina sekian lama kerana tanpa perpaduan, segala kemajuan tidak akan bermakna,” tegasnya.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek, Ahli Dewan Negara Robert Lau Hui Yew, Penasihat Utama Komuniti MADANI, Datuk Robert Lau Hoi Chew, Ahli Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS),
Kaunselor Kevin Lau Kor Jie, Penghulu Wong Ung dan tetamu jemputan yang lain.
Oleh Akun Giman