Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • RENCANA
  • Kepanasan global semakin teruk pada dekad akan datang jika tanpa penyelesaian konkrit
  • RENCANA

Kepanasan global semakin teruk pada dekad akan datang jika tanpa penyelesaian konkrit

Utusan Sarawak 2 days ago

PADA siri lepas, dalam usaha saya memberi kefahaman isu perubahan iklim kepada raykat marhaen di luar sana, saya tekankan peri pentingnya rakyat memahami isu ini.

Sebab apa? Kerana perubahan iklim mempengaruhi pelbagai aspek kehidupan rakyat, lebih-lebih lagi ia dikatakan semakin teruk pada dekad – dekad mendatang jika dunia gagal menangani isu ini.

Kehidupan generasi akan datang, anak cucu kita akan lebih terjejas akibat perubahan iklim.

Apabila fenomena cuaca ekstrem seperti banjir, kemarau, cuaca panas, gelombang haba, kebakaran hutan, jerebu, peningkatan aras laut, ombak dan ribut semakin kuat meyebabkan hakisan pantai yang semakin teruk di masa hadapan, pasti pelbagai aspek kehidupan rakyat akan terjejas, termasuk aspek kesihatan, keselamatan makanan dan sebagainya.

Fenomena ini kita telah alami di banyak tempat di Malaysia, termasuk di Sarawak juga. Keadaan menjadi sukar jika kekerapan dan keamatan fenomena-fenomena ini semakin meningkat pada masa hadapan.

Kajian dan penyelidikan sains memberitahu kita, keadaan akan semakin teruk pada dekad-dekad akan datang jika dunia gagal mengehadkan kenaikan suhu dunia di bawah aras 1.5oC, aras sasaran penghadan kenaikan suhu dunia di bawah Perjanjian Paris yang dipersetujui semua negara di dunia.

KAJIAN dan penyelidikan sains memberitahu kita, keadaan akan semakin teruk pada dekad-dekad akan datang jika dunia gagal mengehadkan kenaikan suhu dunia di bawah aras 1.5oC. Gambar hiasan.

Sebenarnya dunia telah melangkaui aras ini. Suhu purata dunia pada 2024 lepas meningkat 1.55oC, tahun terpanas dalam rekod cerapan, walaupun peningkatan suhu pada tahun tersebut juga dipengaruhi fenomena El Nino 2023/2024.

Malah, di tahap kenaikan suhu sekitar 1.5oC ini pun sudah menjadikan fenomena cuaca ekstrem semakin menjadi-jadi di seluruh dunia, menyebabkan kematian ribuan orang dan kerugian harta benda berbilion dolar.

Dari banjir teruk di Valencia, Sepanyol pada 2024 and di Texas, Amerika Syarikat baru-baru ini hingga kebakaran hutan di California dan Kanada, gelombang haba di Eropah, menunjukkan negara-negara maju yang mempunyai kapasiti tinggi pun terjejas teruk, apa lagi di negara-negara membangun yang kurang kapasiti.

Keadaan lebih teruk dijangka berlaku jika dunia berada di tahap kenaikan suhu 2.0, 3.0 atau 4.0oC pada masa hadapan.

Anak cucu kita berdepan dengan dunia yang semakin panas, cuaca ekstrem semakin berkecamuk dan tidak menentu jika pemanasan  global semakin meningkat.

Kita sebagai rakyat marhaen perlu memahami isu ini.

Menurut laporan penilaian perubahan iklim panel perubahan iklim (atau IPCC) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), perubahan Iklim dan pemanasan global memang sedang berlaku di hampir setiap pelusuk dunia, trendnya semakin pantas dan meningkat.

Kadar perubahan seperti ini tidak pernah terjadi sejak beribu tahun sebelum ini.

Laporan IPCC juga menyatakan sebab utama adalah peningkatan gas-gas rumah hijau di atmosfera, terutama karbon dioksida, yang memerangkap haba dilepaskan permukaan bumi dari terlepas ke angkasa lepas menjadikan suhu dunia semakin meningkat.

Ini yang menjadikan suhu dunia semakin panas.

BUMI, tamadun manusia tidak akan bertahan dengan peningkatan suhu sebegini. Gambar hiasan.

Sampel teras ais atau ice cores diperoleh di Antartika menunjukkan sejak lebih kurang sejuta tahun lalu, aras kepekatan karbon dioksida di atmosfera turun naik secara semula jadi pada julat antara 200-300 ppm (bahagian per sejuta).

Tetapi kepekatan ini mula meningkat sejak bermulanya zaman perindustrian di Eropah sekitar 1800 akibat aktiviti manusia terutama pembakaran bahan api fosil, kemusnahan hutan yang membebaskan gas-gas rumah hijau sehingga ke hari ini dengan kepekatan kini telah mencapai 425 ppm, jauh terkeluar julat 200-300 ppm sejak sejuta tahun lalu.

Data menunjukkan peningkatan kepekatan karbon dioksida secara semula jadi dari aras terendah 200 ppm ke aras tertinggi 300 ppm mengambil masa 20,000-30,000 tahun.

Tetapi, manusia dengan aktiviti yang tidak mampan secara drastik meningkatkan kepekatan ini ke tahap melebihi 400 ppm dalam tempoh masa hanya kurang dari 200 tahun, satu tempoh yang amat singkat berbanding 20,000-30,000 tahun secara semula jadi.

Menurut laporan IPCC lagi jika trend peningkatan pembebasan gas-gas rumah hijau ini berterusan, di penghujung abad ke-21, kepekatan karbon dioksida akan meningkat ke tahap 1000 ppm dengan peningkatan suhu 4-5oC dan jika trend ini berterusan pada 2300 kepekatan karbon dioksida akan berada pada tahap 2000 ppm dan dengan peningkatan suhu 15oC.

Bumi, tamadun manusia tidak akan bertahan dengan peningkatan suhu sebegini.

Dunia dan manusia sejagat perlu sepakat untuk memastikan bumi dan dunia tidak berevolusi mengikut trajektori kemusnahan iklim sebegini.

Usaha ini perlu dilipatgandakan sekarang, tanpa lengah.

Menurut IPCC lagi bagi mencapai sasaran pemanasan global dihadkan di bawah 1.5oC seperti termaktub dalam Perjanjian Paris, dunia perlu menurunkan kadar pembebasan gas-gas rumah hijau kepada tahap 50 peratus lebih rendah bebanding kadar pembebasan sekarang pada tahun 2030, dan mencapai tahap bersih – sifar atau net zero karbon dioksida pada 2050.

Satu sasaran yang masih jauh untuk dicapai.

Menurut IPCC, ikrar yang dibuat oleh negara-negara di dunia setakat ini dan dasar iklim sedia ada masih jauh daripada mencukupi tetapi akan membawa pemanasan global melebihi 3.0oC pada penghujug abad ke-21.

Sebenarnya, dari sektor mana pembebasan gas-gas rumah hijau ini datang?

Laporan IPCC menunjukkan bahawa 64 peratus datangnya dari pembakaran bahan api fosil dan industri dan 11 peratus lagi dari aktiviti guna tanah, perubahan guna tahah dan aspek-aspek berkaitan perhutanan.

Maknanya, negara-negara di dunia perlu memberi perhatian kepada sektor-sektor ini terutamanya jika mahu menurunkan kadar pembebasan gas-gas rumah hijau masing-masing.

Dunia perlu bergerak kepada ekonomi karbon rendah dengan dasar memberi keutamaan kepada penjanaan tenaga keterbaharuan, ke arah pengangkutan awam yang efisien, meningkatkan penggunaan kereta elektrik, dan pengurusan guna tanah dan hutan yang mampan.

Dua negara besar, China dan Amerika Syarikat menyumbang hampir 50 peratus pembebasan gas rumah hijau dunia berbanding negara-negara kecil dan membangun yang menyumbang pada kadar kecil termasuk Malaysia yang kurang dari satu peratus.

Walaupun banyak negara komited menyelesaikan isu ini, tetapi malangnya ada negara besar bertindak sebaliknya, dan menidakkan dapatan sains mengenai perubahan iklim.

Walaupun begitu kita mahu negara kita bergerak ke arah kemampanan, bersama menyelesaikan masalah perubahan iklim, meningkatkan daya tahan iklim, dan mengambil kesempatan ini untuk membina ekonomi karbon rendah yang lebih mampan.

Negara kita perlu bergerak ke arah ini, kita sebagai rakyat marhaen, yang peka terhadap nasib untung anak-anak cucu kita di masa akan datang, mahu pemerintah komited kepada agenda ini.

  • Prof Dr. Fredolin Tangang adalah seorang ahli klimatologi, bekas professor di UKM, felo Akademi Sains Malaysia dan kini bertugas di Universiti Brunei Darussalam. Beliau juga bekas Naib Pengerusi Kumpulan Kerja 1 Panel Perubahan Iklim Antara-Kerajaan (IPCC), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Continue Reading

Previous: Pemuda angkat identiti nasional menerusi motif budaya Malaysia pada jam tangan
Next: Mykad perantara bantuan kerajaan kepada rakyat dalam ekosistem digital negara

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.