BARU-baru ini bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersekutu dengan beberapa pemimpin dari Perikatan Nasional (PN) termasuk Tan Sri Muhyiddin Yasin, bekas Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa serta Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad.
Majlis tersebut bersama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan Individu Bukan Kerajaan (NGI) di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya. Resolusi Persidangan Meja Bulat dibacakan oleh Dr Mahathir menyentuh tiga perkara utama iaitu pertama, kebimbangan tentang kehilangan kuasa orang Melayu di Tanah Melayu; kedua, kewujudan musuh bersama yang dikatakan mengancam hak Melayu; dan ketiga, keperluan untuk menyatukan bangsa Melayu demi mempertahankan kuasa mereka. Walaupun resolusi ini menarik perhatian dan mencetuskan perdebatan, sejauh mana kebenaran dan relevannya perlu dianalisis dengan lebih mendalam.
Kebimbangan kehilangan kuasa orang Melayu
Kenyataan resolusi “Orang Melayu bakal kehilangan kuasa di Tanah Melayu jika tidak ada tindakan segera’’ menarik untuk dianalisis. Terdapat kebimbangan tentang kehilangan kuasa orang Melayu sering dikaitkan dengan perubahan demografi, politik dan ekonomi. Secara statistik, orang Melayu membentuk 69.9 peratus populasi Malaysia (Jabatan Perangkaan, 2020), dengan status mereka diiktiraf sebagai “Bumiputera” yang diberi keistimewaan dalam Perlembagaan Malaysia (Perkara153). Bagaimanapun, kebimbangan kehilangan kuasa bukan sekadar tentang majoriti penduduk, tetapi berkait rapat dengan dominasi politik dan kawalan ke atas institusi.
Sebenarnya isu ini dicetuskan apabila berlakunya beberapa peristiwa iaitu Dr Mahathir tewas dan hilang deposit di kerusi Parlimen Langkawi, kegagalan PAS dan Bersatu membentuk kerajaan. Mereka cuba memberikan persepsi kehilangan kuasa politik mereka itulah kehilangan kuasa orang Melayu, sedangkan ini bukanlah benar.
Sejak merdeka, kuasa politik di Malaysia didominasi oleh parti-parti Melayu seperti UMNO. Namun, landskap politik telah berubah dengan peralihan kuasa kepada kerajaan pelbagai kaum seperti Pakatan Harapan (PH) pada 2018 dan Kerajaan Perpaduan di bawah Datuk Sri Anwar Ibrahim pada November 2022. Yang anehnya, Dr Mahathir, Muhiyiddin sendiri yang bersekutu menewaskan UMNO sebuah parti Melayu pada pilihan raya 2018.
Yang perlu diilihat adalah dalam konteks ini, kebimbangan terhadap “kehilangan kuasa” boleh dilihat sebagai ketidakpastian akibat perubahan dinamik politik. Namun, penting untuk menilai sama ada kebimbangan ini adalah berasaskan fakta atau persepsi.
Sebagai contoh, institusi utama seperti Majlis Raja-Raja, hak istimewa Bumiputera, dan kedudukan agama Islam tetap terjamin dalam Perlembagaan. Oleh itu, kebimbangan kehilangan kuasa lebih kepada kalangan yang kalah daripada ancaman sebenar.
Orang Melayu mempunyai musuh bersama
Kenyataan resolusi yang menyatakan bahawa orang Melayu menghadapi “musuh bersama” yang mengancam hak mereka. Namun apabila dianalisis, penggunaan istilah “musuh bersama” menimbulkan persoalan penting: siapakah musuh yang dimaksudkan? Dalam wacana ini, ia sering tidak dijelaskan secara khusus, meninggalkan ruang untuk interpretasi. Namun seolah-olah ia menjuruskan kepada isu perkauman. Namun seelok-eloknya pandangan sempit ini perlu ditolak. Sebaliknya, musuh bersama perlu ditafsirkan sebagai faktor luaran seperti jurang ekonomi tinggi kalangan orang Melayu kerana terdapat ‘maha kaya’ dan ‘maha miskin’ seolah-olah berlaku dua darjat, selain jurang ekonomi dengan etnik lain.
Selain itu musuh bersama juga perlu dilihat sebagai pengaruh globalisasi, atau ancaman budaya yang mengakibatkan tidak terbendung dan boleh melemahkan komuniti itu sendiri. Musuh bersama pula perlulah ditafsirkan sebagai aspek dalaman seperti perpecahan politik, korupsi, dan kelemahan pentadbiran dalam kalangan pemimpin Melayu sendiri. Namun pandangan ini juga perlu dinilai secara objektif. Dalam era moden, musuh utama orang Melayu hakikatnya ialah berdepan cabaran seperti kemiskinan, literasi rendah, kurang ilmu, kurang mampu menyesuaikan diri dengan perubahan dan ketangkasan berfikir dan bertindak, pendidikan rendah dan pengangguran. Misalnya, statistik menunjukkan bahawa kadar kemiskinan Bumiputera berada pada tahap 7.2 peratus, diikuti kaum India dengan 4.8 peratus dan Cina 1.4 peratus.
Faktor lain adalah perpecahan politik dalam kalangan orang Melayu sendiri. Dengan kewujudan pelbagai parti seperti UMNO, PAS, dan Bersatu, serta pergolakan dalaman, perpaduan Melayu semakin terhakis. Dalam konteks ini, “musuh bersama” lebih sesuai ditafsirkan sebagai kelemahan dalam menyelesaikan masalah sendiri daripada ancaman musuh dalam selimut seperti pengkhianatan dan lompat parti.
Penyatuan bangsa Melayu untuk menyelamatkan kuasa
Kenyataan resolusi bahawa “penyatuan bangsa Melayu diperlukan untuk mempertahankan kuasa mereka: Ternyata apabila dianalisis, penyatuan politik orang Melayu sering menjadi slogan dalam wacana nasional, juga ketika lemah dan kalah. Hakikatnya terdapat perpecahan antara parti-parti politik Melayu mencerminkan perbezaan ideologi, kepentingan, dan pendekatan. Sebagai contoh, UMNO berpegang pada ideologi nasionalis dan moderat, PAS menggunakan imej Islam, Bersatu dan Pejuang pula mencuba untuk menjadi alternatif kepada UMNO dengan juga membawa imej Melayu.
Perpaduan Melayu tidak dapat dicapai jika ada yang tidak mahu membawa konsep progresif dan moderat. Lebih penting lagi, penyatuan semata-mata tidak akan menyelesaikan masalah mendasar yang dihadapi oleh masyarakat Melayu. Isu seperti akses pendidikan, kesenjangan ekonomi, dan keadilan sosial memerlukan penyelesaian konkrit, bukan sekadar slogan perpaduan. Tambahan pula, penyatuan Melayu yang bersifat eksklusif boleh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan komuniti lain. Malaysia adalah sebuah negara pelbagai kaum, dan usaha menyatukan hanya satu kaum tanpa mempertimbangkan hak dan kepentingan semua kaum boleh menyebabkan ketegangan sosial. Sejarah menunjukkan bahawa pendekatan inklusif, seperti yang dicapai melalui kontrak sosial dan Dasar Ekonomi Baru (DEB), lebih berjaya dalam mengekalkan keharmonian.
Cabaran sebenar
Kebimbangan tentang kehilangan kuasa Melayu perlu diseimbangkan dengan kepentingan nasional dan kepelbagaian kaum. Fokus yang terlalu berat kepada satu komuniti boleh merosakkan perpaduan negara. Penyatuan bangsa Melayu penting, tetapi ia perlu dilakukan dalam kerangka perpaduan nasional. Semua rakyat Malaysia perlu dilibatkan dalam usaha membangun negara, tanpa mengira kaum.
Maka dapat dirumuskan resolusi yang dibacakan oleh Dr. Mahathir mencerminkan retorik dan cuba cetuskan kebimbangan tentang masa depan kuasa Melayu di negara ini, tetapi ia juga menimbulkan persoalan tentang sejauh mana kenyataan ini berasaskan fakta atau persepsi. Meskipun terdapat cabaran nyata seperti ketidaksamaan ekonomi dan perpecahan politik, hakikatnya hak dan kedudukan orang Melayu secara perundangan masih utuh.
- Datuk Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasidan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)