MARUDI: Kendrick Kebing Emang muncul juara Larian Santai 5 kilometer (5KM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telang Usan selepas berjaya menduduki tempat pertama bagi kategori lelaki dengan catatan masa 20 minit 19.68 saat.
Tempat kedua disandang oleh Hezkiel Aran Martin, manakala tempat ketiga dimenangi Mohd Hanie Zafran Nadzarunie.
Bagi kategori wanita pula, tempat pertama disandang Tanisha Wong Xin Mei dengan catatan masa 26 minit 8.17 saat, manakala adiknya, Doriosa Wong Xin Min, menduduki tempat kedua dan Clayriosha Cyndy Alilias di tempat ketiga.
Larian bermula pada 5.50 pagi dari Dataran Marudi sebelum peserta menamatkan larian di lokasi yang sama.

Seramai 213 peserta mengambil bahagian dalam larian tersebut, terdiri daripada 105 peserta lelaki dan 108 peserta wanita.
Hadiah berupa wang tunai dan medal disampaikan oleh Pegawai Pendidikan Daerah Baram, Matthew Laing Ngau, di Dataran Marudi.
Dalam pada itu, Pengetua SMK Telang Usan, Rechard Emang berkata Program Larian Santai 5KM ini dianjurkan sebagai usaha mengumpul dana sekolah bagi membantu pelaksanaan pelbagai aktiviti sekolah pada masa akan datang.
Bagi pihak sekolah, beliau menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat, khususnya Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (YDP PIBG), pelajar, warga SMK Telang Usan serta orang ramai yang memberikan sokongan dalam menjayakan program tersebut.
Oleh Jiku Juguong





