Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Kenderaan perdagangan tiada SLD tidak boleh berada di jalan raya – Loke
  • NASIONAL

Kenderaan perdagangan tiada SLD tidak boleh berada di jalan raya – Loke

Utusan Sarawak 16 hours ago
MENTERI Pengangkutan Anthony Loke bercakap pada Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Parlimen ke-15 Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR:  Kenderaan perdagangan yang tidak dilengkapi dengan sistem Speed Limitation Device (SLD) tidak boleh berada di jalan raya berikutan tidak melepasi pemeriksaan kenderaan, selepas penguatkuasaan pelaksanaan sistem itu bermula secara berfasa mulai 1 Oktober ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata pelaksanaan sistem SLD ialah langkah penting bagi mengawal kelajuan kenderaan berat dan mengurangkan risiko kemalangan maut, khususnya melibatkan bas dan lori, selain sistem SLD sudah lama diwajibkan di negara-negara Eropah dan Singapura.

“Walaupun saya tahu mungkin ada pemain-pemain industri akan ada pushback, menyatakan bahawa kos tambahan dan sebagainya, tetapi dari segi untuk kita memastikan keselamatan jalan raya yang lebih terjamin, nyawa manusia lebih penting.

“Saya harap ahli-ahli Yang Berhormat sama-sama menyokong usaha kerajaan untuk memastikan pelaksanaan ini dapat berjalan dengan lancar supaya apa sahaja pushback, kita nyatakan bahawa keselamatan mesti diutamakan daripada kos dan keuntungan perniagaan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr Richard Rapu @ Aman Begri (GPS-Betong) mengenai impak pelaksanaan SLD dan kos penguatkuasaan, pelaksanaan penyelenggaraan sistem itu serta kesannya jika gagal berfungsi, selain sama ada negara lain telah mewajibkan sistem SLD.

Loke berkata pelaksanaan penguatkuasaan pemasangan SLD secara berfasa bagi semua kenderaan perdagangan bermula pada Oktober ini, terbahagi kepada tiga fasa.

Fasa 1 akan bermula pada 1 Oktober melibatkan pengesahan kefungsian SLD bagi semua kenderaan perdagangan yang dibina selepas 1 Januari 2015 manakala fasa 2 yang akan dikuatkuasakan bermula pada 1 Januari 2026 melibatkan pengaktifan SLD dalam Electronic Control Unit (ECU) bagi semua kenderaan perdagangan yang dibina sebelum 1 Januari 2015. 

Fasa 3 pula membabitkan pemasangan peranti SLD secara retrofit (dengan pengesahan JPJ) bagi mana-mana kenderaan perdagangan yang tidak dilengkapi dengan sistem berkenaan. Penguatkuasaan fasa 3 akan bermula pada 1 Julai 2026.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan asal Fathul Huzir Ayob (PH-Gerik) sama ada kementerian bercadang untuk mewajibkan pemasangan sistem cut-off automatic pada bas atau lori bagi mengehadkan kelajuan atau menghentikan kenderaan jika pemandu mengabaikan peraturan keselamatan.

SLD ialah sistem kawalan kelajuan automatik yang berfungsi mengehadkan kelajuan kenderaan secara elektronik melalui ECU, selari dengan matlamat mewujudkan kawalan kelajuan tanpa perlu mematikan enjin (cut-off) sekali gus tidak menjejaskan keselamatan operasi kenderaan.

Loke berkata pelaksanaan SLD terpakai kepada semua kenderaan perdagangan, iaitu kenderaan barangan Berat Dengan Muatan (BDM) melebihi 3,500 kilogram (kg) dan kenderaan penumpang dengan BDM melebihi 5,000 kg dan melebihi lapan penumpang.

Menjawab soalan tambahan Fathul Huzir berkenaan dengan cadangan pemasangan sistem keselamatan seperti Automatic Emergency Braking (AEB), Electronic Stability Control (ESC) dan Real Time Monitoring System secara bersepadu dengan SLD serta memperkenalkan kotak hitam bagi kenderaan komersial, Loke berkata kementerian turut mempertimbangkan cadangan itu.

Beliau berkata kementerian perlu melaksanakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan bagi memastikan sebarang pelaksanaan dibuat dengan baik dan teratur. – Bernama

Continue Reading

Previous: MCMC keluarkan 279 arahan terhadap penyedia perkhidmatan mudah alih gagal patuhi piawaian

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.