KUCHING: Prototaip kenderaan Transit Aliran Autonomi (ART) berkuasa hidrogen yang sudah siap di Zhuzhou, China akan dibawa ke Sarawak pertengahan tahun ini.
Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain berkata sebaik tiba di sini, ia akan diuji selama setahun.
“Kenderaan ART berukuran 30.2 meter panjang, 2.65 meter lebar dan 3.7 meter tinggi ini boleh mencapai kelajuan sehingga 70 kilometer sejam.
“Ia boleh memuatkan 241 penumpang dan akan menjalani Latihan Pengesahan Konsep (POC) di laluan yang telah ditetapkan.
“Prototaip ART sebelum ini sedang menjalani Fasa 1 POC di Zhuzhou, China, yang akan berterusan sehingga Mac.
“Laluan lebuh raya Samarahan akan menjadi medan ujian untuk kenderaan ini dan kita akan menguji kenderaan ini di depo jalan Samarahan nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan tiga unit Toyota Mirai kepada Timbalan Premier Sarawak, yang disaksikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di pekarangan Wisma Bapa di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata setakat ini, hanya satu ART yang telah siap dan SEDC komited untuk membawa lebih banyak ART tahun depan.
“Mungkin tahun depan kita akan membawa masuk tiga atau empat unit ART ke Sarawak. Ini akan membolehkan Sarawak memulakan operasi komersial pada penghujung 2025.
“Malah SEDC turut merancang untuk menambah pengangkutan awam yang menggunakan hidrogen seperti bas.
“Kita akan mempunyai ART dan juga bas yang menggunakan hidrogen, ini boleh digunakan oleh orang awam nanti,” katanya.
Depo Rembus, merupakan depo ART di Kota Samarahan yang kini dalam proses pembinaan.
Oleh Azreen Keria